AirAsia tawar RM88 dan RM188 sehala ke seluruh negara | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar RM88 dan RM188 sehala ke seluruh negara


KUALA LUMPUR 24 Ogos 2020 - Tambang tetap AirAsia untuk penerbangan domestik kini kembali hanya untuk tiga hari sahaja bermula dari 24 hingga 26 Ogos 2020 di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia. 

Ahli BIG boleh menempah semua penerbangan di dalam Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak dengan tambang tetap termasuk semua sehala pada hanya RM88*; sementara tambang tetap termasuk semua sehala hanya RM188* untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak.

Tempoh perjalanan bagi semua penerbangan ini bermula dari 1 September hingga 6 Disember 2020. 

Ketua Komersial AirAsia, Amanda Woo berkata, tawaran pelancongan dalam negeri amat penting untuk memulihkan kembali ekonomi Malaysia berikutan keadaan semasa yang beransur pulih.
 

aa
                                                                                Amanda Woo


"AirAsia ingin memainkan peranan kami dengan menghubungkan para pelancong ke destinasi pilihan mereka dengan mudah dan tambang berpatutan,'' katanya.

Menurut beliau, promosi tambang tetap ini tersedia untuk semua tempat duduk dan penerbangan termasuk penerbangan pada hujung minggu.

"Selain itu, promosi tambang tetap ini tepat pada masanya untuk mereka yang perlu pulang ke Sabah sempena pilihan raya negeri pada akhir bulan September.

"Kami juga telah mengemas kini pilihan fleksibiliti yang membolehkan para tetamu menukar tarikh penerbangan mereka pada bila-bila masa tanpa bayaran penukaran penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - DagangNews.com