AirAsia X catat 2,291 penumpang pada Q2 | DagangNews Skip to main content

AirAsia X catat 2,291 penumpang pada Q2

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - AirAsia X Berhad (AirAsia X) mencatatkan penurunan dalam jumlah penumpang pada suku kedua 2020 (April hingga Jun) iaitu 2,291 berbanding 1,455,052 bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu melibatkan penerbangan yang membawa kargo dengan pengambilan penumpang pada jumlah minimum pada April 2020. 

AirAsia X dalam sebuah kenyataan hari ini memberitahu, sepanjang tempoh tersebut, syarikatnya hanya menjalankan operasi minimum untuk menampung penghantaran balik pelancong serta perkhidmatan pengangkutan dan kargo. 

“Jumlah keseluruhan sektor penerbangan berdasarkan carter dan dan kargo berjumlah 146 bagi tempoh tersebut.

“Bagi suku sama, syarikat mencatatkan faktor muatan penumpang (PLF) sebanyak 38%,” jelas AirAsia X.

statistic

 

Pada penghujung suku pertama 2020, AirAsia X menghentikan sementara operasi penerbangan dan masih melaksanakannya sehingga hari ini kerana sempadan negara masih ditutup. 

Dalam pada itu, Air Asia X Thailand pula mencatatkan PLF sebanyak 82% dengan kapasiti kerusi 377 dan 309 jumlah penumpang.

“Seperti AirAsia X Malaysia, mereka turut menghentikan sementara operasi penerbangan sejak suku pertama lalu.

“Jumlah pesawat A330 AirAsia X Thailand kekal pada kadar 14, manakala Malaysia (24). 

“Jumlah keseluruhan mencatatkan 40 pesawat termasuk dua pesawat AirAsia X Indonesia yang diberhentikan sementara sejak 2019, bagi penghujung suku kedua 2020,” tambah AirAsia X. - DagangNews.com