AirAsia yakin pulih lebih pantas daripada pesaing | DagangNews Skip to main content

AirAsia yakin pulih lebih pantas daripada pesaing

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Mempunyai rangkaian ke lebih 160 destinasi di seluruh Asia dan Pasifik, Kumpulan AirAsia berkedudukan baik dalam pasaran penerbangan untuk pulih lebih pantas berbanding syarikat penerbangan lain.

 

Apatah lagi majoriti pasaran antarabangsa AirAsia merupakan kawasan tumpuan pelancongan seperti Thailand, Australia, Korea, IndoChina dan Taiwan yang menunjukkan prestasi baik dalam menangani penularan COVID-19. 

 

Dalam masa sama, perkembangan positif gelembung perjalanan yang dibentuk di Asia dan penemuan vaksin COVID-19 menjadi berita gembira buat industri itu. 

 

“Prospek umumnya, perjalanan udara akan melonjak semula tidak lama lagi; kami menjangkakan mampu mencapai paras sebelum pandemik di semua laluan penerbangan kumpulan syarikat menjelang pertengahan tahun 2021, atau lebih awal.

 

“Kami berterusan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi pelancongan dan lapangan penerbangan untuk merancakkan perjalanan udara domestik di samping mewujudkan perbincangan baik mengenai pembentukan gelembung perjalanan dengan destinasi antarabangsa berisiko rendah,” kata Presiden (Syarikat Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam. 

 

Bo Lingam
Bo Lingam

 

Kumpulan AirAsia kekal yakin untuk ‘bangkit’ lebih kuat, kukuh dan pantas daripada pesaing lain dalam pasaran perjalanan.

 

Berdasarkan perkembangan positif menentang COVID-19 baru-baru ini dengan kejayaan airasia.com, kumpulan syarikat itu yakin akan terus mencatat pertumbuhan yang mengukuh pada bulan-bulan mendatang sehingga tahun 2021. 

 

“Perniagaan kami di Jepun dan India berdepan kesempitan tunai, menyebabkan kumpulan syarikat berdepan tekanan kewangan tinggi. Pengurangan kos dan tunai yang dihadkan terbukti kekal sebagai kunci keutamaan penutupan kedua-duanya,” tambah Lingam. 

 

Mengangkat pendigitalan sebagai langkah untuk mengharungi cabaran COVID-19, Presiden airasia Digital, Aireen Omar berkata AirAsia telah berjaya beralih daripada tumpuan syarikat penerbangan kepada platform utama perjalanan dan gaya hidup menerusi pelancaran airasia.com.

 

Aireen Omar
Aireen Omar

 

“Pembangunan cabang hasil perniagaan digital dan bukan penerbangan merupakan transformasi besar kepada AirAsia. 

 

“Kami berkeyakinan tinggi bahawa usaha airasia Digital seperti Teleport, BigPay, Santan dan aplikasi super airasia.com akan mencapai tahap memberangsangkan pada 2021, membuka jalan menuju perolehan keuntungan menjelang tahun 2022,” kata Aireen. - DagangNews.com