airasia.com lancar platform perubatan airasia Health | DagangNews Skip to main content

airasia.com lancar platform perubatan airasia Health

airasia Health


Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Asean super app, air.asia.com melancarkan sebuah platform digital pertama ASEAN yang menawarkan perkhidmatan perubatan secara menyeluruh yang dikenali sebagai airasia Health.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan berkata, platform berkenaan turut menjalin kerjasama dengan penyedia perubatan dan hospital terkemuka lain untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan dan logistik.

"Penjagaan kesihatan merupakan aspek penting untuk semua dan kami ingin membantu memudahkannya. Daripada rundingan awal hingga perkhidmatan pasca-rawatan, kami berhasrat untuk menawarkan perkhidmatan yang lancar untuk semua melalui platform airasia Health.

"Bukan itu sahaja, airasia Health juga menawarkan perkhidmatan perjalanan yang disokong oleh ekosistem airasia.com merangkumi perkhidmatan logistik perjalanan seperti pilihan penerbangan, penginapan dan mobiliti, seterusnya memudahkan perjalanan pelancong perubatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai permulaan, airasia Health menawarkan tempahan untuk ujian RT-PCR COVID-19 pada harga bermula daripada RM260 yang disediakan oleh rakan perubatannya Lifecare Diagnostic Medical Centre dan Sunway Medical Centre. 

airasia Health turut bekerjasama dengan penyedia perubatan dan hospital terkemuka untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti perundingan profesional, rawatan tempahan seperti pemeriksaan kesihatan, estetika, pemeriksaan kesejahteraan dan kesuburan.

Selain itu, platform berkenaan turut menawarkan perkhidmatan logistik merangkumi penerbangan, penginapan, perkhidmatan sokongan visa perubatan dan peneman pesakit.

Tambah beliau, airasia Health mempunyai rakan perubatan seperti Alpha IVF & Women's Specialists, Beverly Wilshire Medical Centre, Sunway Medical Centre, Genesis IVF & Women's Specialist Centre, Sunway TCM Centre, Pure Touch Clinic dan banyak lagi. 

"airasia Health disokong oleh panel penasihat pakar industri seperti Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM),Datuk Dr. Kuljit Singh; Pakar Perunding serta Pakar Ginekologi dan Kesuburan, Datuk Dr. Colin Lee dan ramai lagi.

"Untuk senarai lengkap rawatan dan perkhidmatan yang terdapat di airasia Health, layari airasia.com/health," ujarnya lagi. - DagangNews.com