AirUpThere sasar kutipan dana RM600k untuk tembusi pasaran sukan ASEAN | DagangNews Skip to main content

AirUpThere sasar kutipan dana RM600k untuk tembusi pasaran sukan ASEAN

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Syarikat penganjur sukan, AirUpThere menyasarkan kutipan dana RM600,000 untuk menembusi pasaran Asia Tenggara menerusi aplikasi mudah alih miliknya, Huddle. 

Kutipan dana itu dijalankan menerusi platform pendanaan awam, pitchIN.

Ketua Pegawai Eksekutif AirUpThere, Andri Khusahry berkata, syarikatnya memberikan tumpuan awal terhadap empat sukan utama iaitu badminton, bola keranjang, acara larian dan bola sepak yang dianggarkan merangkumi 30% jumlah pasaran penyertaan sukan di ASEAN.

 

Andri
Andri Khusahry

 

Pasaran itu juga melibatkan kira-kira 50 juta penduduk di ASEAN.

“Sasaran bagi tahun 2021 adalah untuk menembusi Singapura, Filipina dan Indonesia,” kata beliau dalam sebuah kenyataan. 

Huddle merupakan aplikasi mudah alih yang menyediakan pasaran dan pengurusan untuk aktiviti sukan amatur di ASEAN.

Pengguna Huddle hanya perlu membuat pencarian, pembelian dan sertai rangkaian rakan kongsi aplikasi tersebut atau organisasi sukan. 

Kandungan Huddle ketika ini menumpukan kepada senario sukan tempatan dan meraih trafik tinggi pada siaran langsung pertandingan dan liga terpilih, kandungan yang disumbangkan oleh liga serta pasukan atau akademi sukan. 

Antara ciri lain Huddle termasuk penjualan tiket, profil pasukan dan pemain serta pengurusan pertandingan, kedudukan dan jadual.

 

Huddle

 

Setakat ini, AirUpThere telah bekerjasama dengan 115 penganjur sukan menerusi Huddle yang menjana pendapatan sehingga RM478,000 dengan 4,100 profil.

Menerusi kutipan dana tersebut, AirUpThere akan memperuntukkan 25% daripadanya untuk menambahbaik teknologi platform Huddle, 40% bagi usaha pemasaran dan 35% memperkukuh bakat yang ada.

“Kami sentiasa melihat sukan sebagai sebuah aset kepada pembangunan komuniti dan memahami bahawa tidak semua ingin terlibat dalam aktiviti sukan tradisional. 

“Ciri lain yang akan dimasukkan dalam Huddle adalah platform ‘Virtual Coaching’ kami,” tambah beliau. - DagangNews.com