KUALA LUMPUR 19 Mei - AmBank Economic Research menjangkakan aktiviti perdagangan menjadi lebih perlahan pada masa hadapan berdasarkan kepada aliran maklumat terkini.
Firma itu berkata, Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) pembuatan terkini yang berada di bawah paras penguncupan sejak September 2022 dijangka terus lemah.
Katanya, jumlah pengeluaran industri (IP) terkini, terutamanya untuk segmen berorientasikan eksport, juga lemah termasuk pengeluaran untuk pakaian, produk kayu, produk getah, produk plastik dan perabot.
"Kekurangan keyakinan dalam ekonomi global sebahagian besarnya disebabkan siri kenaikan kadar faedah dan inflasi yang terbukti lebih tinggi daripada jangkaan.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada 4.5% untuk 2023 disokong oleh faktor domestik termasuk peningkatan pasaran buruh, realisasi pelaburan dan peningkatan dalam sektor pelancongan dan berkaitan pelancongan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Dagangan Malaysia merosot 14.5% kepada RM198 bilion pada April 2023 - DOSM
Terdahulu, prestasi dagangan Malaysia rendah pada April 2023 selepas menyusut 14.5% kepada RM198 bilion tahun ke tahun susulan ekonomi global yang tidak menentu.
Prestasi eksport Malaysia merosot 17.4% daripada RM127.6 bilion kepada RM105.4 bilion pada April 2023 susulan eksport domestik yang lebih rendah.
Eksport domestik bernilai RM80.4 bilion, menyumbang 76.3% kepada jumlah eksport, menyusut 22.3% berbanding bulan yang sama tahun lepas. - DagangNews.com