KUALA LUMPUR 8 Julai - Pihak pengendali serta wartawan Al Jazeera akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman minggu ini untuk membantu siasatan berhubung satu siaran dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid hari ini.
"Pihak kami telah hubungi beberapa individu berkaitan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Mereka akan dipanggil memberi keterangan pada minggu ini dan awal minggu depan.
"Seorang aktivis sosial juga dipanggil semalam dan keterangan sudah diambil di IPD Putrajaya bagi membantu siasatan susulan kenyataan di Facebooknya yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen," katanya seperti dipetik Bernama.
Dalam pada itu, pihaknya akan memanggil seorang lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai Rayhan Kabir yang terlibat sama dalam dokumentari terbabit.
Baca : Al Jazeera akan dipanggil polis
Berdasarkan laporan tersebut juga, Mior Faridalathrash memberitahu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita berbentuk fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.
Terdahulu, Al Jazeera pada 3 Julai lalu telah memuat naik sebuah video dokumentari mengenai pengalaman PATI di Malaysia ketika usaha pengekangan penularan COVID-19 di negara ini.
Video yang berdurasi 25 minit dan 50 saat itu memaparkan sisi buruk Malaysia dengan memesongkan kenyataan bahawa negara ini telah menindas golongan PATI yang didakwa bukan jenayah. - DagangNews.com