Allianz General 'intai' potensi kerjasama dalam NEXEA Corporate Accelerator Programme 2021 | DagangNews Skip to main content

Allianz General 'intai' potensi kerjasama dalam NEXEA Corporate Accelerator Programme 2021

Sean Wang

Sean Wang.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Syarikat insurans am di Malaysia, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) bakal menyertai NEXEA Corporate Accelerator Programme 2021 bagi tahun kedua berturut-turut dalam usaha mencari potensi kerjasama.

 

Program yang diadakan dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC), Malaysian Business Angel Network (MBAN), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Cyberview Sdn Bhd dan AWS Activate selain sokongan oleh Cradle itu menampilkan rakan kerjasama korporat Allianz General, Spritzer dan lain-lain lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang berkata, pihaknya sangat berminat untuk kembali bekerjasama dengan NEXEA kerana Corporate Accelerator Programme 2021 yang menawarkan akses kepada syarikat awalan baharu yang terbaik di pasaran. 

 

Menurutnya, susulan program tahun lalu, Allianz General mempunyai akses kepada 20 syarikat permulaan yang terbaik, dan telah mendapatkan tiga syarikat dengan dua buah kerjasama dari program tersebut. 

 

“Kini Allianz General mempunyai lebih 50 kerjasama digital yang aktif di pelbagai sektor, tetapi kami sentiasa mencari rakan niaga yang boleh menawarkan idea yang baru dan berani yang boleh merubah atau meningkatkan cara kami menjalankan perniagaan kami dan mengubah bagaimana pelanggan kami boleh menerima manfaat dari produk dan perkhidmatan.

 

“Pengalaman kami dengan NEXEA sangat bagus dan memilih untuk menyertai program tahun ini adalah keputusan yang mudah. Matlamat kami tahun ini ialah untuk mengenalpasti kerjasama yang berpotensi menawarkan peluang pengedaran yang boleh dimanfaatkan bersama dan syarikat permulaan yang mempunyai model perniagaan yang lestari dan kemampuan untuk memasuki pasaran yang lebih baharu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penglibatan Allianz General dengan syarikat permulaan telah menghasilkan kerjasama dengan pelbagai organisasi sejak tahun 2017. 

 

Beberapa kerjasama komited termasuk Pand.ai, yang telah membantu mencipta Aida, chatbot insurans AI yang berinteraksi dengan pelanggan yang pertama di Malaysia, serta rakan pengedaran seperti SPEEDHOME (platform sewa rumah), SOCAR (rangkaian perkongsian-kereta), PolicyStreet (syarikat permulaan insurtech), dan RinggitPlus (laman perbandingan dalam talian).

 

Dibuka untuk semua syarikat permulaan teknologi di Malaysia, Corporate Accelerator Programme 2021 direka untuk membenarkan peserta syarikat permulaan untuk mendapatkan daya tarikan perniagaan, memperbaiki strategi dan asas perniagaan lain dengan bimbingan dari mentor dan pakar. 

 

Penyertaan untuk NEXEA Corporate Accelerator Programme 2021 dibuka sehingga 31 Julai 2021. - DagangNews.com