Allianz General sedia tuntutan pantas insurans pelanggan terjejas akibat banjir kilat | DagangNews Skip to main content

Allianz General sedia tuntutan pantas insurans pelanggan terjejas akibat banjir kilat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Allianz General Insurance Company (M) Berhad menyediakan penyelesaian tuntutan banjir yang pantas untuk pelanggannya yang terkesan akibat banjir kilat yang berlaku di sekitar Lembang Klang.

 

Pelangggan boleh menghubungi talian 1-800-22-5542 dan penyelaras tuntutan akan datang membuat penilaian terhadap kerosakan yang dihadapi dalam tempoh 24 jam bagi membantu mempercepatkan urusan tuntutan insurans.

 

Ketua Tuntutan Allianz, Damian Williams berkata, syarikat itu juga telah menempatkan kenderaan 4x4 berjenama Allianz dan pasukan pelaras dalam keadaan siap sedia untuk membantu pelanggan dengan segera di sekitar Lembah Klang.

 

"Pelanggan adalah keutamaan kami kerana keadaan boleh bertukar menjadi buruk dalam masa yang singkat selain hujan lebat dijangka berterusan sepanjang minggu ini dan kami tidak mahu mengambil risiko.

 

"Kami sudah bersedia dengan aset kami termasuk trak tunda daripada kawasan berhampiran seperti Seremban untuk membantu pelanggan yang terkesan di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, bagi pemegang polisi individu seperti Smart Home Cover, Allianz General akan membayar penyelesaian tuntutan penuh atau bayaran interim dalam tempoh lima hari selepas lawatan tapak daripada pelaras.

 

allianz
Allianz menempatkan kenderaan 4x4 berjenama Allianz bagi memberi bantuan kepada pelanggan.

 

"Pelanggan dengan insurans kebakaran (talian komersial) boleh mengharapkan bayaran interim dalam tempoh lima hari selepas lawatan daripada pelaras, dengan penyelesaian tuntutan penuh dibayar antara 21 hingga 28 hari selepas lawatan.

 

"Bagaimanapun, jika atas apa-apa sebab, syarikat tidak dapat menyelesaikan tuntutan sebelum hari ke-28, syarikat akan memudahkan pembayaran interim kedua sebelum hari ke-30," katanya. - DagangNews.com