Alumni UPM dipelawa sertai Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022: Raikan 50 Tahun UPM | DagangNews Skip to main content

Alumni UPM dipelawa sertai Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022: Raikan 50 Tahun UPM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

SERDANG 16 Ogos – Setelah dua tahun tidak dapat diraikan berikutan pandemik COVID-19, Majlis Sirih Pulang ke Gagang@Homecoming XI akan diadakan pada 1 Oktober ini di Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Acara tersebut dianjurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM (PAUPM) bertemakan Seluhur Budi, Sekalung Kasih di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

 

Sebagai tanda sokongan kepada majlis ini, keberangkatan Tuanku Canselor UPM, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ke majlis ini juga menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga UPM dan alumni untuk sama-sama hadir meraikan majlis yang penuh gilang gemilang ini.

 

Homecoming XI ini merupakan satu program tradisi UPM bagi menyambut dan meraikan kepulangan alumni ke alma mater bertujuan memupuk semangat kebersamaan dalam ‘Sederap Melangkah Menuju Al-Falah’, menurut kenyataan Pusat Perhubungan Alumni UPM hari ini.

 

Pertemuan para alumni dalam majlis ini dihasratkan memenuhi Aspirasi Naib Canselor 2022 yang ke-11 iaitu “Melibat sama Alumni untuk Kelangsungan Universiti’ bagi memacu kecemerlangan institusi sebagai sebuah Menara Ilmu.

 

Selain itu, majlis ini juga bakal menemukan alumni sesama alumni untuk bersama-sama bertukar idea dan kepakaran bukan sahaja untuk jaringan hubungan alumni itu sendiri malahan yang lebih penting adalah untuk kemajuan universiti mendepani cabaran membawa hala tuju universiti ke tahap yang lebih tinggi dan tersohor.

 

Program yang dimulakan semenjak 2001 ini, turut dimasukkan ke dalam kalendar program Majlis Kemuncak Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM yang mana sangat mengalu-alukan penyertaan daripada seluruh alumni UPM, rakan universiti, badan korporat, pemegang taruh dan individu yang berminat untuk menyumbang dan menghadiri majlis ini.

 

Penganjuran majlis pada kali ini bertepatan untuk meningkatkan pendanaan bagi pemberian biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan pelajar terutama pelajar dalam kalangan B40, asnaf dan juga pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU). – DagangNews.com