Amal oleh Malaysia Airlines lancarkan penerbangan Johor Bahru-Madinah | DagangNews Skip to main content

Amal oleh Malaysia Airlines lancarkan penerbangan Johor Bahru-Madinah

Dari kiri: Ketua Pembangunan Perniagaan Amal oleh Malaysia Airlines, Roslan Ismail; Pengurus Besar Bahagian Komersial Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Noor Safura Suib; Timbalan Pengarah Pelancongan Johor, Nur Maziah Ab Razak; Pengarah Urusan Tiram Travel Sdn Bhd, Md Yusoff Abdul Ghaffar; dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Amal oleh Malaysia Airlines, Mohd Faisal Ibrahim.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Amal oleh Malaysia Airlines, penerbangan khusus jemaah haji dan umrah, cabang ziarah Malaysia Aviation Group (MAG), melancarkan penerbangan sulung dari Johor Bahru ke Madinah pada 23 Julai 2024, menandakan penerbangan pertama syarikat penerbangan itu ke Arab Saudi. 

 

Penerbangan MH162, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah (MED) pada 11:35 pagi waktu tempatan menggunakan pesawat Airbus A330-200 syarikat penerbangan itu. 

 

Kapal terbang itu menampilkan 284 tempat duduk, termasuk 18 dalam kelas perniagaan dan 265 dalam kelas ekonomi.

 

MAG berkata, Amal akan beroperasi sekali seminggu dari King Abdulaziz International Airport (JED) Ke Johor Bahru pada 6:40pm petang setiap Isnin melalui penerbangan MH155, ini memberi jemaah haji perjalanan lancar ke JHB dengan mudah.

 

Dilancarkan pada 2019, Amal oleh Malaysia Airlines komited memperkayakan rohani dan menyediakan perkhidmatan penerbangan termasuk talbiyah dan miqat pada bahagian pertama perjalanan.

 

Selain itu, laungan azan dan khutbah juga disediakan di atas kapal, memastikan pengalaman perjalanan yang bermakna. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan dari MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi, menjelaskan penerbangan itu akan memudahkan perjalanan jemaah haji dari wilayah selatan Malaysia, serta mereka yang melancong dari Singapura dan kota-kota Indonesia seperti Batam, Bintan, dan Riau. 

 

“Perkhidmatan ini menunjukkan komitmen kami menyediakan pilihan perjalanan mudah dan selesa bagi jemaah haji, dan kami berharap dapat meneruskan misi kami untuk menyokong keperluan agama dan rohani komuniti kami,” ujarnya.


Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Kennedy Ayu menerangkan kerjasama dengan Amal oleh Malaysia Airlines mencerminkan komitmen syarikatnya memenuhi keperluan perjalanan penumpangnya. 

 

“Ini merupakan langkah penting memnuhi misi kami untuk meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebagai hab penerbangan terkemuka dan pintu masuk utama ke wilayah Selatan Malaysia.

 


“Penerbangan itu bukan sahaja memudahkan jemaah umrah dan pengembara dari Johor Bahru, malah ia juga membuka peluang baharu untuk profesional perniagaan dan pengembara dari Batam, Sabah, dan Sarawak. 

 

“Penerbangan terus ini meningkatkan ketersambungan dan kemudahan, dengan penerbangan ke Madinah, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kini beroperasi ke 19 destinasi,” ujar Kennedy.- DagangNews.com