AmBank jual AmGeneral Insurance untuk tingkatkan nisbah modal, ramal CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

AmBank jual AmGeneral Insurance untuk tingkatkan nisbah modal, ramal CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Langkah AMMB Holdings Berhad (AmBank) menerusi anak syarikatnya, AmGeneral Holdings (AGH) untuk menjual AmGeneral Insurance (AGI) kepada Liberty Insurance (LI) mungkin bertujuan melonjakkan nisbah modal kumpulan berbanding menggunakannya sebagai bayaran dividen khas kepada pemegang saham. 

 

Bagi penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng, penjualan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan AmBank sebelum ini sememangnya pernah menzahirkan hasrat untuk menjual kepentingan di dalam unit insurans amnya. 

 

Firma penyelidikan itu mengambil pendirian neutral terhadap penjualan tersebut dan dalam masa sama menjangkakan pelupusan itu berpotensi mendatangkan keuntungan sekali bayar, jelas Ng.

 

“Kami percaya terdapat hasil sekali bayar daripada pelupusan ini buat AmBank, tetapi kami tidak dapat menganggarkan angkanya dengan tepat kerana kekurangan maklumat mengenai berapa nilai kos AGH dibelanjakan untuk kepentingan AGI. 

 

“Sekiranya kami meletakkan kos AGH itu bersamaan dana pemegang saham AGI setakat September 2020 iaitu RM1.62 bilion, sehubungan itu, AmBank mungkin memperoleh keuntungan sekali bayar sebanyak RM343.5 juta daripada pelupusan tersebut, merangkumi 17% daripada unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2022 (FY22),” ujar Ng dalam satu nota kajian.

 

Pada 19 Julai lalu, AmBank mengumumkan AGH telah memeterai perjanjian dengan LI untuk menjual 100% kepentingan di dalam AGI pada nilai sekitar RM2.29 bilion, tertakluk kepada pengubahsuaian yang akan dilunaskan menerusi gabungan tunai dan saham di dalam LI.

 

Buat masa ini, AmBank memiliki 51% kepentingan di dalam AGI menerusi pemegangan saham di dalam AGH. 

 

Susulan daripada pelupusan tersebut, AmBank akan memegang 30% kepentingan di dalam AGI dan LI. 

 

Berdasarkan analisis firma penyelidikan itu, Ng berkata, pelupusan berkenaan akan mengurangkan sumbangan insuran am kepada keuntungan bersih AmBank dalam jangka masa panjang kerana LI mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah berbanding AGI. 

 

Pada FY19, LI mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM41.2 juta berbanding RM248.4 juta keuntungan bersih yang dicatatkan AGI pada FY20.

 

“Dalam pada itu, kami tidak melihat sebarang peningkatan signifikan di dalam keuntungan bersih LI dalam jangka masa panjang.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘kurangkan’ saham AmBank kerana harga sahamnya berpotensi ‘overhang’, susulan daripada penempatan saham persendirian yang akan menurunkan harga saham,” tambah Ng. 

 

Pada tahun tahun kewangan 2021 (FY21) yang berakhir 31 Mac lalu, AmBank mencatatkan kerugian bersih mencecah RM3,826.5 juta.

 

Baca : AmBank rugi RM3.8 bilion, salah satunya disebabkan 1MDB

 

Ini disebabkan oleh pembayaran dan caj Item luar biasa dicatatkan pada suku keempat FY21 (4QFY21) sebanyak RM4,767.0 juta, di mana sebahagian besarnya untuk menyelesaikan tuntutan RM2.83 biliion melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

 

Setakat 11.41 pagi, harga saham AmBank merosot 2 sen atau 0.68% kepada RM2.90. - DagangNews.com