AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Ancom Nylex, FV RM1.30 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Ancom Nylex, FV RM1.30

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ancom Nylex dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM1.30.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berikutan pengambilalihan tambahan 2.9 juta saham (atau 24% kepentingan ekuiti) dalam Ancom-Chemquest Terminals (ACT) untuk wang tunai RM3.8 juta daripada seorang ahli perniagaan Thailand, Surasak Suwanapasri.

 

Ancom pada 5 Oktober 2022 memperoleh 3 juta saham (atau 25% kepentingan ekuiti) ACT daripada PPB Group Chemquest dengan jumlah balasan tunai RM4.0 juta.

 

ACT adalah anak syarikat 51% milik Ancom Logistics dan Ancom memiliki 34% daripada Ancom Logistics.

 

Firma itu berkata, kepentingan efektif Ancom dalam ACT meningkat kepada 66% selepas pengambilalihan dan kumpulan itu dijangka memperoleh baki 34% dalam tempoh 1 ke 2 tahun.

 

"Aktiviti utama ACT adalah untuk membina, memiliki, mengendalikan, mengurus dan menyewakan ladang tangki kimia dan gudang kepada pengedar kimia industri.

 

"ACT memiliki 48 tangki atau 44,100 meter padu kapasiti simpanan tangki di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor. Sepanjang tiga tahun lalu ACT secara konsisten menjana untung bersih sebanyak RM2 juta setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma berkata, tidak akan ada peningkatan ketara dalam perbelanjaan dan pendapatan FY23 daripada pengambilalihan itu memandangkan saiz pemerolehan yang agak kecil.

 

Katanya, pemerolehan ini sejajar dengan hasrat kumpulan untuk menjadi salah satu kumpulan kimia bersepadu utama di rantau Asia Tenggara.

 

"Kami percaya Ancom akan terus mendapat manfaat daripada larangan paraquat di Malaysia, Thailand dan Brazil pada FY23. 

 

"Pengenalan bahan aktif pertanian baharu akan meningkatkan lagi pendapatan kumpulan pada FY24 dan FY25," katanya. - DagangNews.com