AmInvestment kekalkan unjuran KLCI ditutup 1,545 mata pada akhir tahun 2024 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekalkan unjuran KLCI ditutup 1,545 mata pada akhir tahun 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan sasaran FBM KLCI bagi akhir 2024 pada 1,545 mata dengan menjangkakan penghujung tahun yang lebih baik di tengah-tengah jangkaan pelancaran infrastruktur dengan mandat kerajaan yang kukuh

 

Firma penyelidikan itu berkata, hal ini disokong oleh pendapatan korporat dijangka berkembang 14% pada 2024, di samping hasil dividen yang sangat menarik, pegangan saham asing yang rendah pada masa ini sebanyak 19.6%, dan prospek ringgit lebih kukuh.

 

“Bagaimanapun, pertumbuhan itu mungkin terjejas oleh peningkatan kebarangkalian kemelesetan global ekoran kitaran kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) sebanyak 500 mata asas yang berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment turut menganggarkan pendapatan FBM KLCI 2024 berkembang 14.4%, sebahagian besarnya didorong oleh minyak dan gas (20%), perladangan (18%), kuasa (17%) dan perkhidmatan kewangan (14%), setanding dengan pertumbuhan pendapatan konsensus Bloomberg sebanyak 13.6%.

 

Meskipun unjuran pertumbuhan pendapatan korporat Malaysia pada 2024 melebihi AS pada 12% dan United Kingdom -7.6%, firma penyelidikan itu berkata trajektori lebih curam bagi negara-negara ASEAN yang lain berkemungkinan menarik minat pelabur asing yang lebih tinggi.

 

“Bagi 2025, kami mengunjurkan pendapatan FBM KLCI meningkat 7% (berbanding unjuran Bloomberg pada 5.8%), disokong oleh perkhidmatan kewangan (25%), minyak dan gas (18%) dan pengangkutan (18%).

 

“Namun, kami mendapati bahawa halangan makro yang tidak menentu daripada prospek kemelesetan dan inflasi global, ditambah pula dengan masa peralihan kadar faedah Rizab Persekutuan AS tahun ini boleh membawa kepada semakan ketara kepada prospek pendapatan korporat,” katanya.

 

AmInvestment berkata, ia ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas, pembinaan, teknologi, pembuatan, pelabuhan, kuasa, hartanah, amanah pelaburan hartanah (REIT), sarung tangan getah dan pengangkutan.

 

Saham pilihan utama firma itu termasuk CIMB Group Holdings Bhd, RHB Bank Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Gamuda Bhd, Dialog Group Bhd, Sunway Bhd, Yinson Holdings Bhd, Pavilion REIT dan Mah Sing Group Bhd.

 

“Kami juga menyukai saham bermodal kecil dengan penjenamaan kukuh yang boleh mengemudi dengan selamat daripada tekanan inflasi, seperti Spritzer dan pengeluar kimia pertanian khusus Ancom Nylex Bhd, serta syarikat yang dinilai terlalu rendah seperti Deleum Bhd,” tambahnya.

 

Bagi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pula, firma itu menyukai Maybank (Malayan Banking Bhd), Petronas Chemicals Group Bhd, Petronas Gas Bhd, IHH Healthcare Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Westports Holdings Bhd, Inari Amertron Bhd, Sunway Holdings, Sunway REIT dan Gamuda Bhd.

 

AmInvestment berkata, pemilihan sektor dan saham adalah penting dalam mencapai prestasi relatif yang lebih baik memandangkan peningkatan risiko berkaitan potensi kemelesetan global diterajui AS pada separuh pertama 2024.

 

Selain itu, firma itu berkata, perbelanjaan penggunaan tempatan berpotensi berkurang berikutan pelan rasionalisasi subsidi di tengah-tengah inflasi yang lebih tinggi sedikit. - DagangNews.com