AmInvestment kurangkan unjuran untung bersih Glomac sebanyak 8% dan 6% bagi FY24, FY25 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kurangkan unjuran untung bersih Glomac sebanyak 8% dan 6% bagi FY24, FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran untung bersih Glomac Berhad untuk FY24 dan FY25 sebanyak 8% dan 6% bagi mencerminkan pelancaran projek baharu yang lebih perlahan daripada jangkaan pada FY23.

 

Firma itu berkata, kelewatan itu akan menyebabkan pengebilan kemajuan yang lebih rendah pada tahun-tahun berikutnya.

 

Katanya, berdasarkan pembangunan semasa, kumpulan itu dijangka melancarkan kebanyakan projek baharunya pada April 2023 berbanding jangkaan awal iaiatu antara Februari dan Mac tahun ini.

 

"Sehingga kini, kumpulan itu hanya melancarkan projek bernilai RM35 juta daripada jumlah keseluruhan RM510 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melancarkan Primrose Fasa 4B1B di Saujana KLIA, yang mempunyai 60 unit rumah teres dua tingkat bernilai RM35 juta.

 

Sehingga kini, 26 unit telah ditempah dan kumpulan itu komited untuk melancarkan baki projek sebelum akhir FY23

 

Firma itu difahamkan bahawa kumpulan itu sedang berunding dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai beberapa keperluan untuk mendapatkan kelulusan bagi penampilan sulung Greentec, Puchong dan pelancaran itu akan ditangguhkan kepada FY24.

 

"Kami terus memantau status kelulusan pelancaran Greentec dan ia mencerminkan potensi kelewatan dalam pengiraan aset bersih dinilai semula (RNAV) berdasarkan kemajuannya pada April 2023," katanya.

 

Firma itu menjangkakan, margin untung bersih yang lebih rendah antara 1% hingga 2% untuk projek akan datang terutama Greentec kesan daripada peningkatan kos pembinaan.

 

"Untuk projek baharunya di perbandaran sedia ada, kumpulan itu mempunyai ruang untuk meningkatkan harga dalam fasa berikutnya projek perumahannya, disokong oleh kadar pengambilan yang kukuh bagi fasa sedia ada," katanya.

 

Firma itu mengekalkan 'beli' dengan harga wajar (FV) 37 sen sesaham. - DagangNews.com