AmInvestment naikkan nilai wajar Pavilion REIT kepada RM1.59 sesaham | DagangNews Skip to main content

AmInvestment naikkan nilai wajar Pavilion REIT kepada RM1.59 sesaham

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Okt - AmInvestment Bank menaikkan nilai wajar Pavilion REIT kepada RM1.59 daripada RM1.56 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli' selepas ia merekodkan pendapatan sewaan yang lebih tinggi daripada jangkaan. 

 

Ia disumbangkan terutamanya menerusi Elite Pavilion Mall, sebahagiannya diimbangi oleh kadar bebas risiko yang lebih tinggi disebabkan lonjakan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kepada 4.3% daripada 3.9%.

 

Menurutnya, pendapatan boleh agih Pavilion REIT sebanyak RM188 juta bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022 adalah melebihi jangkaannya dan konsensus, masing-masing menyumbang 80% dan 82% daripada anggaran pendapatan bagi tahun kewangan penuh.

 

"Oleh itu, kami menaikkan anggaran pendapatan boleh agih kami sebanyak 7%, 7% dan 6% masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24. 

 

"Semakan ini dibuat selepas meningkatkan andaian kami pada purata bulanan sewa setiap kawasan boleh disewa bersih (NLA) Elite Pavilion Mall kepada RM23 kaki persegi daripada RM20 kaki persegi  berikutan pemerhatian kami terhadap pendapatan sewa yang lebih kukuh dalam tempoh sembilan bulan ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku ketiga, Pavilion REIT merekodkan pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lebih tinggi sebanyak RM90.22 juta, meningkat 90% daripada RM47.47 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan peningkatan hasil serta perbelanjaan operasi hartanah yang lebih rendah.

 

Pendapatan pada suku berkenaan berkembang 26.7% kepada RM143.62 juta terutamanya disumbangkan oleh hasil sewa yang lebih tinggi dan pendapatan daripada acara pengiklanan dan pemasaran, memandangkan semua sektor ekonomi dan perniagaan dibenarkan dibuka semula.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, NPI Pavilion REIT melonjak 73.7% kepada RM267.32 juta daripada RM153.93 juta, manakala hasil meningkat 16.3% kepada RM423.89 juta daripada RM364.32 juta.

 

Menurut AmInvestment, pengembalian sewa pada suku ketiga sebahagian besarnya tidak berubah kerana sesetengah penyewa masih memerlukan sedikit masa untuk pulih ke tahap jualan sebelum pandemik COVID-19.

 

"Kadar penghunian di Da Men Mall meningkat kepada 61% pada suku ketiga daripada 59% pada suku sebelumnya.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kadar penghunian di Da Men Mall akan meningkat kepada lebih 70% menjelang akhir FY22 kerana Pavilion REIT telah mendapatkan penyewa baharu termasuk A&W, Subway dan Big Pharmacy," katanya. 

 

Firma itu bagaimanapun menyukai saham Pavilion REIT kerana kedudukan aset utamanya yang strategik di ibu negara, menyediakan platform yang baik untuk jenama antarabangsa baharu untuk bertapak bagi pengembangan pasaran di negara ini di samping menyokong permintaan untuk ruang runcit di pusat beli-belah.

 

"Kami menjangkakan peningkatan secara beransur-ansur dalam jualan runcit dan penyewa dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa," tambahnya. - DagangNews.com