AmInvestment positif terhadap prospek sektor pelabuhan didorong kestabilan perdagangan, potensi kenaikan tarif | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap prospek sektor pelabuhan didorong kestabilan perdagangan, potensi kenaikan tarif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - AmInvestment Bank Research positif terhadap prospek sektor pelabuhan didorong kestabilan perdagangan yang berdaya tahan dan potensi kenaikan tarif.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa akan berlaku kenaikan tarif untuk semua pelabuhan di bawah liputan mereka.

 

Katanya, Westports Holdings Bhd telah mengemukakan permintaan untuk semakan tarif kontena dan mencadangkan kenaikan sebanyak 50% sedekad lalu tetapi hanya diberikan kenaikan sebanyak 30% daripada Kementerian Pengangkutan.

 

Ia dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu, kenaikan 15% pada 2015 dan kenaikan 15% lagi pada 2019 manakala di Sabah, tarif pelabuhan tidak berubah dalam tempoh 35 tahun yang lalu.

 

"Walaupun semakan tarif telah diluluskan secara prinsip oleh Kabinet Negeri pada 2020 tetapi pelaksanaannya hanya akan diputuskan kemudian.

 

"Bagi Bintulu, kami menjangkakan semakan tarif akan berlaku selepas Lembaga Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak. Tarif kargo am pelabuhan itu kali terakhir disemak pada 1983 dan tarif kontena pada tahun 1999," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, daripada tiga syarikat di bawah liputan mereka, keputusan Suria Capital Holdings Bhd mengecewakan manakala Pelabuhan Bintulu melebihi jangkaan dan Westports berjaya mencapai jangkaan.

 

Katanya, Suria Capital mencatatkan kerugian pada 4QFY23 kerana pendapatannya terjejas oleh pendapatan hartanah yang lebih rendah, pelunasan lebih tinggi untuk aset konsesi serta peruntukan kos untuk penggantian.

 

"Pelabuhan Bintulu melebihi jangkaan kami kerana permintaan gas asli cecair (LNG) lebih baik pada 4QFY23, dicerminkan dalam peningkatan 19% dalam jumlah pemprosesan.

 

"Westports mengalami peningkatan dari suku ke suku sebanyak 4% dalam jumlah pemprosesan kontena hasil daripada permintaan yang didorong oleh perayaan dan pelanggan utama meningkatkan penghantaran untuk memenuhi kuota kontrak," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap sektor itu. - DagangNews.com