AmInvestment unjur pendapatan Glomac bertambah pada 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur pendapatan Glomac bertambah pada 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - AmInvestment Bank Research mengunjurkan hasil dan pendapatan Glomac Berhad bertambah pada 2HFY24 selepas masalah kekurangan tenaga kerja berjaya diatasi secara berperingkat ditambah dengan sasaran jualan hartanah FY24 lebih kukuh. 

 

Mereka mengunjurkan jualan yang belum dibilkan sebanyak RM60 juta dari Plaza Kelana Jaya dan RM147 juta daripada 121 Residence akan diiktiraf sebahagian besarnya sepanjang baki suku tahun FY24.

 

Pada masa ini, Plaza Kelana Jaya telah siap, manakala 121 Residence dalam peringkat akhir pembinaannya.

 

Katanya, pengurusan memberi petunjuk bahawa jualan 2QFY24 dijangka lebih perlahan memandangkan majoriti projek baharunya akan dilancarkan pada 2HFY24.

 

Namun begitu, pihak pengurusan kekal yakin dalam mencapai sasaran jualan FY24 sebanyak RM393 juta, disokong oleh pelancaran rancangan FY24 yang lebih tinggi sebanyak RM691 juta berbanding RM184 juta pada FY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berada di landasan terbaik untuk melancarkan Fasa 1 Loop City Puchong dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM338 juta (48% daripada pelancaran yang dirancang untuk FY24F) menjelang awal November 2023.

 

Katanya, fasa pertama Loop City Puchong terdiri daripada 980 unit pejabat kecil/pejabat rumah (SOHO) dan pangsapuri servis, tersedia dalam tiga saiz iaitu 450/550/750 kaki persegi. Harga jualan purata indikatif seunit adalah berpatutan pada RM320,000 .

 

"Kami positif tentang prospek jualan untuk Loop City Puchong memandangkan harga berpatutan dan berdekatan dengan projek Lakeside Residences sedia ada kumpulan yang telah menjual sepenuhnya semua unit kediaman.

 

"Ini disokong oleh pendaftaran minat Glomac di Loop City Puchong yang mendapat sambutan yang kukuh sebelum pelancaran rasmi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) 45 sen sesaham. - DagangNews.com