KUALA LUMPUR 15 Mei — Bekas CEO Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), berkuat kuasa 23 April 2024 hingga 14 Feb 2026.
Amrin menggantikan Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, yang menamatkan perkhidmatannya pada 9 Feb 2024.
“Ahli lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan PPZ-MAIWP ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Amrin Awaluddin di atas pelantikan beliau, dan yakin pengetahuan dan pengalaman luas beliau mampu membawa PPZ-MAIWP ke arah yang lebih baik,” menurut PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan.
Amrin, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Acadia University, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan), dengan cemerlang, dari University of Hull, England.
Beliau juga merupakan ahli Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), United Kingdom dan merupakan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Amrin mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor korporat dan memulakan kerjayanya di institusi perbankan sebelum memegang jawatan penting di beberapa syarikat, seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.
Ia juga berkata pengalaman luas dan kepakaran Amrin menyaksikan beliau dilantik ke jawatan tertinggi beberapa syarikat termasuk sebagai ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH); pengarah urusan kumpulan Media Prima Berhad; dan pengarah urusan kumpulan Bousted Holdings Berhad. - DagangNews.com