KUALA LUMPUR 19 April - Untung bersih Amtel Holdings Berhad melonjak kepada RM1.4 juta bagi suku pertama berakhir 28 Februari 2023 (1QFY23) berbanding RM891,000 bagi suku sama tahun sebelumnya.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak 21.7% kepada RM17.69 juta berbanding RM14.53 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan hasil itu adalah disumbangkan hasil jualan yang tinggi dalam segmen telekomunikasi, infrastruktur dan perkhidmatan (TIS) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
"Hasil segmen ICT pada suku semasa sebanyak RM14.82 juta menyumbang kira-kira 83.8% daripada hasil kumpulan dan terus menerajui keputusan kewangan keseluruhan.
"Peningkatan dalam prestasi suku kewangan semasa didorong oleh pesanan jualan yang lebih tinggi, margin keuntungan yang lebih baik untuk produk Telematik dan aksesori automotif tertentu serta peningkatan dalam kecekapan dan produktiviti," katanya.
Mengulas mengenai prospek tahun ini, kumpulan akan terus melaksanakan pengurangan kos dan menambah baik kecekapan untuk mengurangkan potensi kesan negatif disebabkan turun naik kadar pertukaran wang asing, peningkatan dalam kos material, buruh dan utiliti serta prospek inflasi global.
Kumpulan juga itu juga akan terus meningkatkan usaha dan sumber bagi mengejar peluang perniagaan baharu untuk mengembangkan perniagaan teras untuk memasukkan teknologi hijau dan meluaskan rangkaian produk ICT serta perkhidmatan berkaitannya untuk kekal berdaya saing.
"Lembaga pengarah menjangkakan prestasi kewangan kumpulan akan kekal menjanjikan untuk tahun kewangan ini," katanya. - DagangNews.com