Anggaran jualan lebih rendah, AmInvestment semak turun unjuran pendapatan Infomina sebanyak 4% bagi FY24 dan FY25 | DagangNews Skip to main content

Anggaran jualan lebih rendah, AmInvestment semak turun unjuran pendapatan Infomina sebanyak 4% bagi FY24 dan FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran pendapatan Infomina Bhd bagi FY24 dan FY25 sebanyak 4% disebabkan anggaran jualan yang lebih rendah dan jangkaan pengiktirafan projek bina pasang siap (turnkey) yang lebih lemah. 

 

Katanya, pelarasan itu disebabkan pengiktirafan projek turnkey yang lebih perlahan daripada buku tender sebanyak RM600 juta, yang menyusut sebanyak 12% dari suku ke suku pada suku kedua berakhir 30 November 2023 (2QFY24).

 

"Kami juga tidak menjangkakan sebarang kejutan positif yang kukuh dalam lebihan bayaran daripada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan kumpulan setakat 3QFY23, kerana pihak pengurusan memberi panduan bahawa caj ini menjadi normal dari 1QFY24 dan seterusnya," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan tertunggak kumpulan setakat akhir November 2023 berjumlah RM431 juta, iaitu 1.6 kali ganda hasil unjuran untuk FY24, dengan pengiktirafan progresif tersebar dari FY24 hingga FY26.

 

"Kami memahami gabungan buku pesanan condong ke arah segmen pembaharuan yang terdiri daripada operasi infrastruktur teknologi dan perkhidmatan penyelenggaraan. 

 

"Ini membawa kepada nisbah buku kepada bil sebanyak 0.4 kali unjuran pendapatan segmen pembaharuan FY24," katanya.

 

Sementara itu, AmInvestment berkata, Infomina merancang untuk memberi tumpuan kepada pasaran utama seperti Thailand dan Filipina, menawarkan perisian antara muka pengaturcaraan aplikasi nilai tambah dalam segmen pembaharuan yang dijangka menyumbang kepada margin keuntungan kasar yang lebih tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu juga sedang berkembang ke pasaran Jepun dengan menubuhkan anak syarikat, memanfaatkan perkongsiannya dengan CA Singapore, anak syarikat Broadcom Inc, bagi menembusi dan memanfaatkan peluang berpotensi di rantau ini.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang panduan mengenai potensi sumbangan daripada pasaran Jepun. 

 

"Bagaimanapun, ia adalah pasaran sedia untuk dimanfaatkan dan kumpulan itu menunggu pelanggan sedia ada CA Singapura untuk beralih kepada Infomina sebaik sahaja kontrak pembaharuan sebelum ini berakhir dengan vendor lain," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham. - DagangNews.com