Anjakan Paradigma Pembangunan: daripada Bantuan kepada Sokongan penuhi aspirasi Malaysia MADANI | DagangNews Skip to main content

Anjakan Paradigma Pembangunan: daripada Bantuan kepada Sokongan penuhi aspirasi Malaysia MADANI

oleh Badrul Hisham Ismail, Pengarah Program di IMAN Research

SEJARAH tercipta pada 8 April 2023. Pada pagi Sabtu itu, ditemani cuaca cerah dan segar, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah turun padang dan menjejakkan kaki ke kompleks perumahan awam, untuk melancarkan program transformasi rakyat marhaen.

 

Kehadiran sosok yang berada di puncak pimpinan negara ke perumahan golongan termiskin itu cukup simbolik, di mana golongan yang paling berupaya dan berkuasa, turun menghadap mereka yang memerlukan.

 

Ini bukan sahaja membuktikan komitmen pihak kerajaan untuk mengatasi masalah yang sedang membelenggu penduduk perumahan awam, tetapi ia juga mempraktikkan perubahan budaya daripada bersifat paternalistik — di mana pihak atasan yang memutuskan segalanya dan penduduk hanya menjadi penerima — kepada pendekatan yang lebih inklusif, di mana penduduk setara dengan pemegang taruh yang lain untuk mengatasi masalah bersama.

 

Kehadiran PM Anwar di PPR Kampung Baru Hicom pada hari itu adalah untuk melancarkan sebuah program yang diberi nama Program Kita-Untuk-Kita (K2K). Program tersebut, yang merupakan sebuah inisiatif daripada Belanjawan 2023, bertujuan untuk menambah baik komuniti perumahan awam melalui pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama, penjanaan pendapatan dan pembaharuan dasar.

 

 

Badrul Hisham Ismai

 

 

Di hari pelancaran tersebut, selain daripada peruntukan sedia ada, PM Anwar telah mengumumkan penambahan sebanyak RM35 juta supaya program tersebut dapat dijalankan di sepuluh buah perumahan awam di Lembah Klang.

 

Ketika acara pelancaran itu berlangsung, mesej yang dilaungkan merupakan anjakan paradigma pembangunan – di mana penduduk perumahan awam diberikan “sokongan, dan bukan bantuan” untuk menjadi ejen transformasi dalam kalangan komuniti mereka.

 

Apa yang dimaksudkan di sini ialah program seperti bantuan kewangan atau penambahbaikan perumahan mereka yang dijalankan sekali lalu, yang diputuskan tanpa penglibatan penduduk sendiri, tidak akan menghasilkan perubahan berkekalan yang diperlukan oleh penduduk.

 

 

parafrasa

 

 

Kita harus mengubah strategi daripada sekadar memberi bantuan, kepada menyokong inisiatif-inisiatif yang dijalankan dan diinginkan oleh warga perumahan awam itu sendiri, kerana jelas mereka lebih arif tentang masalah yang dihadapi mereka, dan apa yang diperlukan untuk mengatasinya.

 

Pendek kata, usaha yang dijalankan harus dinakhodai oleh penduduk sendiri, di mana agensi luar, baik dari pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan, hanya memainkan peranan mereka sebagai pembantu dan penyokong yang setia.

 

Inilah intipati program K2K ini. Justeru, bagi memastikan program ini berjaya, elemen-elemen yang meliputi pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama, penjanaan pendapatan, serta pembaharuan dasar haruslah disertakan.

 

Hasil daripada program ini juga harus berjaya menangani isu sosial, ekonomi, serta keadaan fizikal kawasan perumahan mereka.

 

 

parafrasa

 

 

Program K2K ini bukanlah sebuah program baru. Pada tahun 2020, ketika negara dan dunia dilanda pandemik COVID-19, Think City telah pun memulakan program ini dengan skala yang lebih kecil.

 

Hasil daripada kerja dan masa yang diluangkan bersama penduduk perumahan awam melalui program-program ini, beberapa isu pokok yang membelenggu penduduk dapat dikenal pasti.

 

Selain daripada keadaan perumahan mereka yang lusuh, serta cabaran ekonomi dan kesihatan, kemerosotan taraf hidup penduduk perumahan awam berisiko mewujudkan golongan miskin kota yang semakin ditekan oleh kemerosotan persekitaran dan sosio-ekonomi.

 

Mereka terjerat di dalam lingkaran kemiskinan, tahap pendidikan dan kesihatan rendah, serta masa hadapan yang merudum. Dengan kemerosotan sosio-ekonomi yang berterusan, kawasan PPR ini bakal menjadi kawasan ‘setinggan generasi baru’.

 

Menyedari hal ini, program yang dilancarkan PM Anwar tempoh hari bukan hanya sekadar mengulangi program dan aktiviti yang telah dijalankan sebelumnya, tetapi ia diperluaskan lagi untuk menangani, dan harapnya, dengan jangka masa yang berpatutan, akan dapat menyelesaikan isu-isu pokok yang terdapat di perumahan awam seluruh negara.

 

Menyelesaikan isu-isu ini bukanlah satu perkara yang mudah. Cabaran utama PM Anwar adalah untuk mengatasi sikap skeptis tentang kebolehlaksanaannya. Ramai juga penduduk yang sudah penat dengan model program bantuan lama yang penghujungnya tidak benar-benar menyelesaikan masalah yang mereka hadapi hari demi hari.

 

Maka wajarlah sekiranya penduduk PPR sendiri hilang kepercayaan bahawa perubahan boleh berlaku. Mana tidaknya, pada satu sudut, kehidupan mereka tidak tentu dan tidak selamat dari segi ekonomi kerana mereka tidak mempunyai pendapatan yang stabil sebagai pekerja buruh dan kolar biru.

 

Dari sudut lain, mereka tidak mempunyai kuasa sosial kerana diabaikan dan diasingkan daripada program-program pembangunan serta proses-proses pembuat-keputusan, mengakibatkan mereka berasa tidak berdaya dan tidak berupaya untuk mandiri.

 

 

parafrasa

 

 

Namun di tiap-tiap PPR terdapat penduduk yang bersikap positif, yang mempunyai motivasi untuk memperbaikkan taraf kehidupan diri. Mereka inilah — daripada beraneka kumpulan sosial — yang akan menjadi pemangkin transformasi perumahan mereka.

 

Justeru itu pendekatan Program K2K untuk menambah baik taraf hidup dan daya huni penduduk perumahan awam dengan melibatkan penyertaan komuniti dalam pengurusan kawasan perumahan mereka, melaksanakan program pembinaan kapasiti, meningkatkan kesedaran dan menyokong dasar yang lebih baik untuk perumahan awam yang mampan adalah langkah yang amat progresif.

 

Semua orang berhak untuk mendapatkan kehidupan yang selesa dan bermaruah, tanpa mengira kedudukan sosial mereka. Perumahan yang boleh didiami dan mampan adalah elemen penting bagi hak tersebut.

 

Ini adalah selaras dengan matlamat perumahan yang lestari seperti yang dicadangkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan 11 (SDG11), serta Dasar Perumahan Negara Malaysia yang menyeru kepada perumahan berkualiti untuk semua dan Dasar Komuniti Negara yang bertujuan untuk memberdaya komuniti setempat terlibat secara aktif dalam usaha penyelenggaraan dan pengurusan harta awam dan harta bersama.

 

 

parafrasa

 

 

Untuk mencapai matlamat ini, keseluruhan ekosistem perumahan awam mesti dipertambahbaikkan, meliputi tadbir urus, pengurusan dan infrastruktur, serta keadaan sosio-ekonomi golongan perumahan awam secara lebih meluas.

 

Program berteraskan rakyat marhaen seperti inilah barangkali yang dimaksudkan dengan laungan Malaysia Madani — iaitu untuk membangunkan generasi rakyat Malaysia yang terhormat, sejahtera dan berihsan. - DagangNews.com

 

Badrul Hisham Ismail adalah seorang ahli sosiologi urban yang mengamati isu dasar dan pembangunan bandar. Beliau juga merupakan Pengarah Program di IMAN Research dan Editor Kandungan di Jurnal Svara.