Apex Securities saran pelabur langgan IPO SBH Marine pada harga sasaran 25 sen | DagangNews Skip to main content

Apex Securities saran pelabur langgan IPO SBH Marine pada harga sasaran 25 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - Apex Securities menyarankan pelabur untuk melanggan SBH Marine Holdings Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 22 sen pada harga sasaran (TP) 25 sen.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian harga kepada pendapatan (P/E) kumpulan itu untuk tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24 dan FY25) diunjurkan pada 11.3x dan 8.5x, berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) masing-masing 1.9 sen dan 2.6 sen.

 

Firma itu berkata, ia memperoleh harga wajar (FV) 25 sen, yang memberi potensi peningkatan 15% daripada harga IPO kumpulan, dengan menetapkan sasaran P/E sebanyak 9.6x kepada EPS FY25.

 

Katanya, sasaran PE yang ditetapkan mewakili kira-kira 15% premium kepada pesaing terpilih yang terlibat dalam industri makanan laut beku seperti MAG Holdings Bhd dan PT Resources Holdings Bhd yang didagangkan pada purata PE ketinggalan setahun sebanyak 8.4x.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SBH Marine sasar RM39.6 juta daripada IPO di Pasaran ACE sebagai modal pengembangan perniagaan

 

"Kami optimis terhadap inisiatif strategik SBH Marine bagi menyepadukan keseluruhan rantaian bekalannya, daripada penetasan hingga ke perdagangan.

 

"Pendekatan komprehensif ini membolehkan kumpulan itu memantau dengan teliti sumber produknya dan memperoleh margin merentasi rantaian bekalan dengan lebih berkesan.

 

"Kumpulan itu juga sedang giat meneroka peluang pasaran China melalui Ekspo Makanan Laut Beku, yang jika berjaya, boleh mencipta aliran pendapatan tambahan untuk SBH Marine," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Apex Securities mengunjurkan untung bersih teras kekal tidak berubah pada FY23, dengan pertumbuhan minimum sebanyak 2.6% dari tahun ke tahun selepas menyatukan kerugian daripada Perak Agro Aquaculture Sdn Bhd akibat penyelenggaraan kolam dari ladang Kurau.

 

"Bagaimanapun, kami meramalkan pertumbuhan yang teguh pada FY24 dan FY25, masing-masing diunjurkan pada 28.6% dan 33.2% selepas hasil kolam pulih sepenuhnya bersama-sama pembesaran bilangan kolam ternakan," katanya. - DagangNews.com