KUALA LUMPUR 15 Julai – Artem Ventures mengumumkan pelaburan terbarunya dalam SonoBee Ultrasound, rangkaian sonografi terkemuka di Malaysia.
Pelaburan oleh TIM Ventures dengan kerjasama FWD ini membuktikan komitmen syarikat pendanaan itu ke arah memupuk inovasi dalam sektor kesihatan digital dan insurans di seluruh negara.
Dengan mempamerkan rekod prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sonografi, Sono Group kini menguasai kira-kira 20% bahagian pasaran dan bersedia untuk terus merevolusikan landskap penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak dengan berkembang ke dalam perkhidmatan selepas bersalin dan produk bayi.
Sayap latihan Kumpulan itu, DACAS Education, juga akan menumpukan kepada usaha menyediakan pendidikan dan
latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada bakal ahli sonografi, seiring dengan sasaran kerajaan untuk melahirkan 100,000 graduan TVET dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Pada masa sama, Kumpulan itu turut menyasarkan untuk menangani jurang perlindungan di Malaysia dengan kerjasama FWD Group bagi menyediakan insurans takaful kepada keluarga muda dan sedang berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sono Group, Jezzlyn Siu berkata, “Sebagai sebahagian daripada komitmen kami selaku perintis industri Sonografi di Malaysia, Kumpulan kami telah melahirkan ahli sonografi profesional dan menyediakan perkhidmatan penting sebelum dan selepas bersalin kepada komuniti.
"Kami memberikan perkhidmatan kepada lebih 150,000 wanita hamil setiap tahun, menawarkan perkhidmatan ultrabunyi terbaik dan paling mampu milik.
"Selain itu, penggunaan aplikasi BeBee membolehkan kami meningkatkan kualiti penjagaan kami dengan menjejaki tahap pertumbuhan bayi dan memantau keadaan ibu," kata beliau.
Visi syarikat, kata beliau, adalah untuk memastikan setiap ibu dan bayi di Malaysia mendapat akses kepada perkhidmatan ultrabunyi dan sokongan terbaik di sepanjang tempoh sebelum dan selepas bersalin.
"Misi kami ialah menggabungkan teknologi canggih, pendidikan komprehensif, dan penjagaan penuh kasih sayang bagi meningkatkan tahap kesihatan keluarga di seluruh negara,” kata Siu,
Rakan Urusan Artem Ventures, Low Zhen Hui berkata, pihaknya amat berbangga kerana dapat menyokong pasukan Sana Group yang berwawasan dalam perjalanan mereka ke arah inovasi dan pertumbuhan.
"Menerusi pelaburan ini, kami berharap untuk meningkatkan akses kepada penjagaan sebelum dan selepas bersalin untuk rakyat Malaysia oleh ahli sonografi terlatih,” kata beliau. - DagangNews.com