Asas ekonomi negara kekal teguh didokong kekukuhan pasaran modal - MOF | DagangNews Skip to main content

Asas ekonomi negara kekal teguh didokong kekukuhan pasaran modal - MOF

KUALA LUMPUR 29 Julai - Asas ekonomi negara kekal teguh dengan prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang cerah didokong oleh kekukuhan pasaran modal serta sektor kewangan yang memiliki kecairan dan modal penampan yang kukuh, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen semasa persidangan Parlimen ialah sama ada keyakinan pelabur terjejas berikutan pandemik COVID19 di Malaysia.

 

“Jawapan ringkasnya, tidak. Keyakinan pelabur asing tetap kukuh tentang prospek pemulihan ekonomi Malaysia.

 

“Bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P dan juga Moody’s telah masing-masing memberikan penarafan A- and A3 kepada Malaysia,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-63 yang dikeluarkan pada Rabu.

 

Tengku Zafrul berkata, minggu lepas Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan Malaysia di tahap BBB+.

 

“Penarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap ‘gagal’. Dari segi sejarah, tahap pelaburan langsung asing (FDI) dan persekitaran perniagaan Malaysia kekal stabil di sebalik landskap politik semasa.

 

“Sebagai contoh, peralihan kerajaan dilakukan secara aman dan teratur pada 2018, manakala di sebalik polemik politik pada 2020, Belanjawan 2021 tetap diluluskan di Parlimen,” katanya.

 

 

tengku zafrul
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

 

Selain itu, katanya, pelabur asing juga mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap kekuatan institusi negara, yang dicerminkan menerusi peningkatan trend FDI negara.

 

Bagi Suku Pertama 2021, negara mencatat aliran masuk pelaburan asing sebanyak RM9.1 bilion, peningkatan 33.8 peratus tahun-ke-tahun (Suku Pertama 2020: RM6.8 bilion).

 

Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga terus menerima pelbagai pelaburan asing berjumlah hampir RM60 bilion daripada syarikat antarabangsa terkemuka baru-baru ini termasuk daripada Microsoft sejumlah US$1 bilion (RM4.2 bilion), Risen Energy Co Ltd sebanyak RM42.2 bilion dan pelaburan RM750 juta oleh GIC Pte Ltd dalam Sunway Healthcare Holdings.

 

Pada masa yang sama, katanya, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion dalam masa enam bulan, tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras ini.

 

Bagi separuh pertama 2021, jumlah perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Eksport naik 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion.

 

“Ini merupakan nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan juga melonjak 87.7% kepada RM115.04 bilion", katanya. - DagangNews.com