Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Jun - Twitter dan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mengumumkan kerjasama baharu untuk membawakan sorotan video EURO 2020 dan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 ke platform media sosial tersebut.
Peminat Malaysia kini boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai acara sukan monumental itu dengan mengikuti akaun @AstroArena dan @StadiumAstro, jelas Twitter dan Astro dalam satu kenyataan bersama.
Ketua Kerjasama Sukan, Twitter Asia Tenggara, Maurizio Barbieri berkata, Twitter merupakan sebuah platform untuk peminat sukan berhubung terus dengan perbualan global dalam masa nyata.
“Astro membawakan liputan terbaik dalam perlawanan bola sepak dan Sukan Olimpik Musim Panas dan kami amat teruja untuk memberikan destinasi satu henti bagi peminat untuk menyaksikannya secara dalam talian,” ujar beliau.
Maklumat terkini itu termasuklah sorotan perlawanan bagi kesemua 51 perlawanan EURO 2020 dan siaran langsung pertunjukan studio pra dan pasca perlawanan, serta klip-klip terpilih rancangan pasca pertandingan.
Dalam pada itu, peminat Malaysia juga akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti #OnlyOnTwitter yang merangkumi tinjauan media melibatkan klip promosi, reaksi perlawanan serta sesi wawancara khas.
Tambah kenyataan itu, dengan mengikuti akaun-akaun Twitter berkenaan, para peminat juga boleh mengambil bahagian dalam Twitter Spaces, satu cara untuk mengadakan perbualan audio secara langsung di Twitter yang mana mereka akan berpeluang mendengar lebih banyak kandungan oleh Astro mengenai EURO 2020.
Peminat di negara ini juga berpeluang mengikuti perbualan global di Twitter sama ada untuk meraikan kemenangan atau berkongsi saat-saat mendebarkan ketika pemain bola sepak berentap di EURO 2020 dan atlet Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik Musim Panas 2020.
“Astro komited untuk membawakan liputan terbaik buat peminat bagi EURO 2020 dan Sukan Olimpik Musim Panas 2020, dan ini terbukti melalui capaian liputan di platform dan servis yang kerap digunakan mereka.
“Ini akan menjadi musim panas yang terbaik buat peminat di Malaysia dan juga serata dunia, dan kami amat teruja untuk menyambungkan peminat kepada perbualan tidak kira di mana dengan kerjasama yang terjalin bersama Twitter,” kata Ketua Perkhidmatan Sukan di Astro, CK Lee. - DagangNews.com