Astro terima Anugerah #OnlyOnTwitter bersempena #BestOfTweets 2021 Malaysia | DagangNews Skip to main content

Astro terima Anugerah #OnlyOnTwitter bersempena #BestOfTweets 2021 Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Twitter mengumumkan Astro menerusi @astroonline sebagai anugerah #OnlyOnTwitter (#HanyaDiTwitter) bersempena #BestOfTweets 2021 Malaysia.

 

Twitter dalam satu kenyataan memberitahu, syarikat penyiaran tersebut berjaya membentuk perbualan berkaitan sukan selain membentuk pemahaman mendalam terhadap komuniti sukan di negara ini.

 

Astro mencipta kempen pakej saluran sukan dengan #SokongMalaysia untuk menjana perbualan #Tokyo2020 bersempena Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan mengumpulkan rakyat Malaysia untuk menyokong atlet negara mereka semasa temasya tersebut. 

 

"Kami berbesar hati menerima anugerah terbaik #OnlyOnTwitter sebagai sebahagian daripada #BestOfTweets untuk kempen #SokongMalaysia kami.

 

"Disebabkan ketiadaan penyokong atlet Malaysia secara fizikal, kami merasakan kempen kami adalah terbaik untuk mengumpulkan rakyat Malaysia dalam satu platform dan memberi sokongan kepada atlet negara. 

 

astro

 

"Kami memanfaatkan Twitter untuk mendapatkan sokongan dan kami teruja melihat rakyat Malaysia berkongsi kasih sayang dan sokongan mereka kepada para atlet sepanjang temasya itu," kata Naib Presiden Kumpulan Astro Malaysia, Robert Middleton.

 

Sementara itu, McDonalds Malaysia (@McDMalaysia) diangkat sebagai pemenang Anugerah Penggunaan Video Terbaik menerusi rakaman semangat Ramadan dengan membawakan baharu ke dalam talian melalui beberapa siri video mempamerkan watak “Syukur” dalam perjalanannya menghayati nilai-nilai bulan suci itu.

 

Kempen ini ialah satu kelas induk dalam penggunaan visualisasi digital untuk menyampaikan kisah yang berhubung dengan semua rakyat Malaysia.

 

“McDonald’s Malaysia berbesar hati menerima Anugerah #BestofTweets 2021 Malaysia, untuk tahun kedua berturut-turut. 

 

"Kemampuan berkomunikasi dengan pelanggan dan peminat kami adalah amat penting kerana kami sentiasa mencari cara untuk berkomunikasi dengan mereka dan berada di tempat di mana mereka paling aktif, termasuk di saluran-saluran digital. 

 

"Situasi yang mencabar sekarang telah memaksa kami untuk beralih daripada cara konvensional untuk berhubung dengan pelanggan kami dan memanfaatkan kuasa media sosial, dan Twitter secara khususnya," kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai. 

 

twitter

 

Sementara itu, enam lagi syarikat turut menerima penghargaan bersempena #BestOfTweets 2021 Malaysia termasuk Tenaga Nasional (@Tenaga_Nasional) yang diberikan Anugerah Hubungan Budaya Terbaik menerusi animasi pendek bertajuk, ‘Raikan Malaysia Kita’ yang menampilkan kisah empat rakyat Malaysia yang mengatasi pelbagai cabaran berkaitan dengan pandemik COVID-19.

 

Axiata menerusi Syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia, Axiata (@axiata) menerima Anugerah Kempen Perubahan Positif Terbaik Kepada Masyarakat menerusi kempen #AdvancingToZero yang menampilkan usaha pekerja syarikat itu dalam mencapai matlamat sifar pelepasa karbon untuk menyelamatkan bumi.

 

Milo Malaysia (@MiloMalaysia) diberikan Anugerah Suara Jenama Terbaik selepas melancarkan kempen #TimeforMilo, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan yang menggunakan unsur nostalgia zaman kanak-kanak dalam menghasilkan perbualan positif di Twitter yang membawa kegembiraan kepada semua rakyat Malaysia. 

 

jenama

 

AikenMY (@AikenMalaysia) menerima Anugerah Kempen Terbaik Untuk Pendatang Baharu menerusi kempen penyelesaian masalah kulit dengan meminta meminta pengguna Twitter untuk Tweet semula menggunakan #AikenTeaTreeOil untuk peluang memenangi sampel produk. 

 

Anugerah Pelancaran Terbaik di Twitter dan Jenama Paling Diberi Perhatian ini diberikan kepada Netflix Malaysia (@NetflixMY) selepas membuat pelancaran untuk rancangan Money Heist yang berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia dan pada masa sama tanda pagar #MoneyHeistMY membantu menyerlahkan perbualan berkaitan rompakan. - DagangNews.com