KUALA LUMPUR 25 Okt - Astro Malaysia Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Measat Broadcast Network systems Sdn. Bhd. menerima kemudahan pinjaman berjangka sehingga RM160 juta daripada AmBank (M) Berhad.
Kemudahan ini tersedia untuk pengeluaran dalam tempoh enam bulan dari tarikh surat tawaran atau tarikh yang mungkin dipersetujui oleh bank secara bertulis.
Kemudahan hendaklah dibayar balik sepenuhnya pada atau sebelum tamat tempoh 48 bulan dari tarikh pengeluaran pertama, dengan ansuran pertama bermula senam bulan dari tarikh pengeluaran pertama.
"Tujuan kemudahan itu adalah bagi membiayai kos yang berkaitan pengeluaran, pembelian dan pelesenan kandungan, program atau saluran serta perbelanjaan modal termasuk pemerolehan aset untuk penyiaran dan penghantaran, dan pemerolehan perisian termasuk platform," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Lembaga Pengarah Astro berpendapat bahawa kemudahan tersebut akan memudahkan pinjaman kumpulan Astro diuruskan dengan lebih cekap kerana harga dan tempoh perkhidmatannya yang kompetitif. - DagangNews.com