Aveta lancarkan model moped baharu V13R | DagangNews Skip to main content

Aveta lancarkan model moped baharu V13R

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. secara rasminya melancarkan sebuah model moped terbaharu iaitu Aveta V13R 2021. 

 

Aveta V13R ini merupakan model kelima keluaran Aveta selepas DY90, RX110, VS110 dan Ranger 110.

 

Aveta dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menaruh harapan tinggi pada model baru ini bagi meningkatkan jualan sehingga hujung tahun ini.

 

"Dijangka model ini akan menyumbang jualan kira-kira 400-500 unit sebulan," katanya.

 

Model tersebut ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik, dengan harga jualan yang cukup berpatutan iaitu sebanyak RM6,688.

 

Aveta V13R ini dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 124cc, bersilinder tunggal berkaburator dengan sejukan udara selain dipadankan transmisi empat kelajuan. 

 

moto

 

Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 7.8hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 8.5Nm @ 5,500rpm. 

 

Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 4.5 liter.

 

moto 2

 

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut termasuklah sistem lampu LED dengan lampu depan jenis Daytime Running Light (DRL), panel meter baharu dengan reka bentuk yang menarik, port pengecas USB, brek cakera depan dengan kaliper dua piston, rim aloi yang bergaya, rekaan ekzos terbaharu dan ekor belakang yang lebih menawan.

 

moto 3

 

 

Model ini didatangkan dengan tempoh jaminan dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 kilometer atau yang mana tiba dahulu. 

 

Menurut Aveta, model tersebut akan tiba di bilik pameran pengedarnya di seluruh negara bermula 29 November ini.-Dagangnews.com