Aveta Ranger, kapcai terbaharu di pasarkan November ini | DagangNews Skip to main content

Aveta Ranger, kapcai terbaharu di pasarkan November ini

SHAH ALAM 30 Nov. - Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. (Aveta) yang bakal mencapai setahun kelahirannya di pasaran motosikal November ini bakal memperkenalkan model baharu sebagai taruhan terbarunya.

 

Model baharu itu yang bakal diperkenalkan ke pasaran Malaysia ialah Aveta Ranger 110 yang dijangka dijual sekitar RM3,500 (harga atas jalan) tanpa insurans.

 

Sebelum kemunculan model terbaharu ini, Aveta telah menjual dua model asas untuk pasaran tempatan iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110. Dikatakan model terbaharu ini lebih disasarkan kepada gaya hidup dan keselesaan.

 

Buat masa ini dua model tersebut menjadi asas kepada Aveta Global Marketing untuk menembusi pasaran tempatan dan diberitakan ketika ini telah menjual hampir 5,000 buah motosikal DY90 dan RX110 sehingga kini.

 

Kedua-dua model tersebut dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai atau CKD di kilangnya di Lembah Klang dan model Aveta Ranger juga turut dipasang di kilang sama. 

 

Aveta Ranger menggunakan spesifikasi enjin empat lejang satu silinder yang bersesaran 110cc, dengan sistem sejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar. 

 

Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 7.8Nm @ 6,500rpm.

 

Ujian tunggangan telah dilakukan terhadap Aveta Ranger dan dipercayai telah memenuhi spesifikasi kenderaan cekap tenaga.

 

Selain itu, Aveta Global dipercayai sedang menguji beberapa model baharu lagi untuk diperkenalkan ke pasaran tempatan yang dijangka Disember ini.

 

Masih belum dapat dipastikan model dan sesaran motosikal yang akan diperkenalkan kerana ia masih di peringkat akhir bagi pengkelasan.

 

Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang pengesahan diperoleh dari pihak AVETA yang dilihat mengunci mulut berkaitan kesahihan tersebut. 

 

Mengikut sumber, syarikat tersebut begitu terperinci di dalam perancangan mereka dan lebih suka merendah diri dan beroperasi secara diam.

 

Mungkin belum masa dan ketika buat AVETA menonjolkan diri lagi ketika ini, ibarat pepatah diam-diam ubi berisi. - DagangNews.com