CYBERJAYA 19 Ogos – Mendukung hasrat untuk menempuh gelombang digitalisasi bersama-sama pemilik perniagaan dan komuniti, AwanBiru Technology Berhad (Awantec) menganjurkan HariAwan MyDigital (MDCD) buat pertama kali pada 20 Ogos 2021, bagi menunjukkan bagaimana mereka mampu meneroka dan memanfaatkan teknologi awan.
Bergandingan dengan Google Cloud, MDCD adalah acara maya satu hari yang berfungsi sebagai platform pertukaran dan interaksi antara para pemimpin industri, pakar daripada Google dan orang ramai untuk memahami teknologi awan dengan lebih baik. Lebih daripada 300 peserta jarak jauh, terutamanya dari sektor awam dijangka menyertai acara interaktif yang bermakna ini.
Pada masa sama, MDCD bakal menjadi pameran untuk mengetengahkan kebolehan awan, dan bagaimana pelbagai bidang perkomputeran awan, seperti kecerdasan buatan dan data raya, mampu membantu mereka bukan sahaja untuk kembali pulih di tengah pandemik ini tetapi juga untuk terus berkembang.
MDCD didorong oleh perubahan drastik akibat penularan virus COVID-19 yang menyebabkan ramai pihak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan perkembangan yang tidak pernah dilalui sebelum ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Awantec, Dr Abu Hasan Ismail berkata, gangguan (distruption) adalah model perniagaan masa kini, dan ''model ini boleh membuatkan kita berjaya sekiranya kita mampu meneroka gelombang digitalisasi lebih awal, ataupun memusnahkan kita jika tidak berjaya berbuat demikian''.
“Kita mungkin tidak menggemarinya, namun ketidaktentuan dan gangguan adalah kebiasaan baharu dan kita mesti menyesuaikan diri untuk kekal relevan – dan Awantec ingin memastikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia. Ini merupakan takrifan MDCD, suatu inisiatif dengan hasrat untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan alat yang diperlukan bagi menghadapi gangguan yang bakal melanda,” kata beliau.
Dilengkapi lebih daripada 18 tahun pengalaman dalam menyediakan sokongan kepada Teknologi dan Bakat, bersama-sama perkongsian globalnya, Awantec bersedia sepenuhnya untuk memacu industri teknologi di Malaysia ke arah ekonomi digital baharu menerusi penawaran awan termasuk Infrastruktur sebagai Servis (IaaS), Platform sebagai Servis (PaaS), Perisian (Software) sebagai Servis (SaaS) & Apa jua (Anything) sebagai Servis (XaaS).
Tempat adalah terhad, justeru mereka yang berminat untuk menyertai acara eksklusif satu hari ini, sila layari “https://www.awantec.my/mydigitalcloudday" untuk maklumat lanjut atau pendaftaran.
Awantec, yang dulu dikenali sebagai Prestariang Berhad, diasaskan pada 2003 dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2011, saham Awantec adalah Patuh Syariah dan menyertai Bursa Malaysia FTSE4GOOD Index sejak 2014 serta pemenang Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN. - DagangNews.com