AXA jual operasi insurans di Malaysia bernilai RM688 juta | DagangNews Skip to main content

AXA jual operasi insurans di Malaysia bernilai RM688 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Syarikat insurans yang berpangkalan di Perancis, AXA bakal menjual operasi insuransnya di Malaysia kepada Generali.

 

Sebagai rekod, Generali merupakan sebuah syarikat insurans yang berpangkalan di Itali.

 

AXA dalam satu kenyataan memberitahu bahawa kumpulan telah menandatangani perjanjian dengan Generali untuk melupuskan kepentingannya sebanyak 49.99% di dalam AXA Affin General Insurance (AAGI) dan 49% dalam AXA Affin Life Insurance (AALI).

 

“Di bawah terma perjanjian itu, AXA akan menjual pemilikannya dalam AAGI dan AALI pada nilai RM688 juta atau €140 juta. 

 

“Transaksi itu tertakluk kepada syarat penutupan, termasuk penerimaan kelulusan peraturan, dan dijangka ditutup pada suku kedua 2022 (2Q22),” jelas AXA.

 

AXA menembusi perniagaan insurans di Malaysia menerusi AAGI dan AALI, hasil usaha sama dengan Affin Bank Berhad.

 

Berdasarkan kenyataan sama, AAGI didakwa menduduki tangga kelima dalam pasaran insurans hartanah dan korban (P&C) di Malaysia dengan 7.9% penguasaan pasaran. 

 

Sementara AALI pula menduduki tangga ke-11 dalam pasaran insurans nyawa di negara ini.

 

Dari segi Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS), AAGI menyumbang hasil dan perolehan masing-masing sebanyak €284 juta dan €9 juta dalam tahun kewangan 2020 (FY20) kumpulan AXA.

 

Dalam pada itu, Affin dalam satu kenyataan berbeza memberitahu bahawa kumpulan dan Generali hari ini setuju untuk membentuk usaha sama yang akan merangkumi perniagaan insurans am dan nyawa Affin serta perniagaan insurans am Generali di Malaysia.

 

Ini selepas kedua-dua pihak itu telah memeterai perjanjian pelaksanaan di mana Affin bersetuju untuk melupuskan 21% kepentingan dalam AALI dan kira-kira 2.95% dalam AAGI kepada Generali.

 

Turut dipersetujui untuk AAGI mengambilalih beberapa aset dan liabiliti dalam MPI Generali Insurans Berhad (MPIG) menerusi pemindahan perniagaan untuk membentuk sebuah syarikat gabungan (MergeCo).

 

Menurut Affin lagi, perniagaan insurans am AAGI dan MPIG akan digabungkan di bawah MergeCo, yang seterusnya bakal menyaksikan pemegangan kepentingan Affin di dalam kedua-dua AALI dan AAGi dikurangkan kepada 30%. - DagangNews.com