Azizan Osman tambah pegangan saham MPay kepada 10.58% | DagangNews Skip to main content

Azizan Osman tambah pegangan saham MPay kepada 10.58%

Datuk Wira Dr. Azizan Osman

 

KUALA LUMPUR 10 Julai - RichWorks International Capital Holdings Sdn. Bhd. (RiCH), syarikat berkaitan dengan Mentor Usahawan dan Pakar Pemasaran No. 1 Asia, Datuk Wira Dr. Azizan Osman menambah nilai pegangan saham dalam ManagePay Systems Berhad (MPay), sekaligus meningkatkan pegangan beliau kepada 10.58%.

 

MPay dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, isteri beliau, Datin Wira Hasdiana Ahmad yang merupakan antara pemegang saham utama RiCH, kini mempunyai pegangan saham MPay secara tidak langsung sebanyak 5.35%.

 

Sehubungan itu, Datuk Wira Dr. Azizan Osman yang memiliki pegangan langsung 44 juta unit saham MPay pada 18 Jun lalu (5.23%), telah menambah pegangan tidak langsung 45 juta unit saham kini meningkat 5.35% menerusi RiCH.

 

Ini lanjutan daripada tambahan pegangan sebanyak 45 juta unit saham, mewakili pegangan 5.35%  kepentingan dalam MPay melalui RiCH pada Jumaat.

 

MPay mengumumkan berkaitan transaksi jualan 45 juta saham itu pada harga RM0.28 kepada RiCH yang merupakan pemilik penuh syarikat pengendali latihan keusahawanan dan PKS terbesar di Malaysia, RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) telah melatih lebih daripada 1.1 juta orang di dalam bidang perniagaan, pemasaran, kepimpinan dan kewangan.

 

Sejak 13 tahun berada di dalam industri, RichWorks berjaya membimbing perniagaan dan jenama dalam pelbagai industri merangkumi fesyen, kosmetik, kecantikan, kesihatan, pendidikan, minuman & makanan dan banyak lagi.

 

azizanosman
Azizan Osman telah melatih lebih 1.1 juta orang di dalam bidang perniagaan, pemasaran, kepimpinan dan kewangan.

 

Jenama-jenama yang telah dibangunkan Azizan Osman bersama RichWorks adalah seperti Sabella, Hasnuri, NOIR, Nurraysa, Eskayvie, DAG Global, IDW Design, Muiz Hot Chicken, PenyetPenyet.com, PTTI, Rempah Mak Siti dan beribu-ribu jenama PKS lain yang dikenali ramai.

 

Terdahulu, MPay telah membuat dua pengumuman ke Bursa Malaysia mengenai MPay dan Macquarie Bank pada 1 Julai 2021 apabila kedua-dua pihak memeterai perjanjian langganan tambahan untuk mengurangkan jumlah langganan Saham Penempatan dari sejumlah 65 juta Saham Penempatan menjadi 20 juta Saham Penempatan.

 

Secara keseluruhannya, ia mengurangkan Jumlah Langganan daripada 130 juta Saham Penempatan menjadi 85 juta Saham Penempatan.

 

Pegangan sejumlah 45 juta saham oleh RiCH pula telah dibuat melalui satu perjanjian Saham Penempatan yang dimeterai bersama Macquarie Bank, seperti yang telah dimaklumkan melalui pengumuman di atas.

 

Pengumuman kedua melibatkan MPay telah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital ke Bank Negara Malaysia (BNM) melalui anak syarikat milik penuh mereka, ManagePay Services Sdn Bhd (MPSB) bersama-sama tiga rakan strategik iaitu Trustgate Berhad, Crescent Capital Sdn. Bhd. dan RichWorks International Sdn. Bhd.

 

MPay positif tentang permohonan yang dibuat dan pembentukan kerjasama dengan rakan strategik yang merupakan entiti dikawal penuh oleh Bumiputra dan telah menunjukkan minat untuk melabur ke dalam ekuiti MPSB apabila permohonan ini berjaya dan tertakluk kepada kelulusan pihak BNM.

 

MPay

 

Dr Azizan merupakan Jurulatih Bertauliah bagi Perniagaan, Pemasaran dan Kepimpinan, Mentor dan Strategis, Penulis Buku Bersiri Keusahawanan Paling Laris. Beliau seorang World Class Business Educator dan Asia's No.1 Business, Marketing & Leadership Coach terkenal dengan keupayaan uniknya untuk membimbing anak muridnya menerusi syarikat yang diasaskannya, RichWorks International Sdn Bhd sehingga mendapat peningkatan luar biasa dalam perniagaan dan beribu-ribu pemilik perniagaan dan usahawan telah berjaya menerusi strategi dan metodologi kejayaannya yang telah terbukti untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka dari sifar hingga mencecah jualan jutaan ringgit. - DagangNews.com