Bagaimana pandemik telah mengubah cara hidup kita, dan bagaimana kita teruskan kehidupan? | DagangNews Skip to main content

Bagaimana pandemik telah mengubah cara hidup kita, dan bagaimana kita teruskan kehidupan?

OLEH JIM FALTEISEK

TIDAK dinafikan bahawa pandemik COVID-19 telah membawa paradigma baharu.

 

Walaupun negara sudah tidak lagi dibelenggu oleh sekatan perjalanan, dan pekerjaan, sekolah, serta universiti telah kembali kepada format fizikal, kehidupan kita, cara kita berinteraksi, hidup dan bekerja  telah berubah untuk selama-lamanya.

 

3M ingin mengetahui bagaimana wabak ini telah dan akan terus mengubah asas kehidupan seperti mana yang kita ketahui.

 

Oleh itu, kami telah menjalankan satu kajian bebas dalam kalangan 22,000 orang dewasa dari 11 negara berbeza, termasuk Perancis, Brazil, China, Mexico, Kanada, Jepun, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, India, dan Korea Selatan.

 

Inilah apa yang telah kami temukan:

 

 

JIM FALTEISEK
                                              JIM FALTEISEK

 

  1. Peningkatan tahap kesedaran mengenai kesihatan

Kita kini mempunyai tahap kesedaran mengenai kesihatan yang jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya. Tidak mengejutkan, hidup dengan pandemik telah mengubah cara orang ramai melihat isu berkaitan kesihatan.

 

Menurut 3M Futures, 76% daripada masyarakat di seluruh dunia bersetuju bahawa pandemik telah membuatkan mereka lebih mengambil berat tentang kesihatan diri mereka.

 

Ia tidak jauh berbeza dengan negara ini. Kajian pada 2020 menunjukkan bahawa 49% rakyat Malaysia telah membuat perubahan yang signifikan terhadap diet mereka dengan 75% responden meletakkan kesihatan mereka sebagai faktor motivasi utama bagi perubahan ini.

 

Pandemik juga telah mempengaruhi tanggapan kita mengenai ruang awam, di mana 77% responden bersetuju bahawa ruang awam perlu direka bentuk semula agar lebih mementingkan kesihatan.  

 

Ini termasuklah ruang pejabat. Pandemik telah mengubah pandangan kita mengenai ruang dalaman di tempat kerja, dan syarikat-syarikat sedang berdepan dengan dua cabaran utama iaitu untuk memupuk rasa “kemasyarakatan” dan pada masa sama melindungi kesihatan serta kesejahteraan kakitangan mereka.

 

Perabot merupakan cara yang terbaik, murah dan cepat bagi mewujudkan penyelesaian ruang yang fleksibel untuk jangka pendek dan jangka panjang di pejabat 3M, terutamanya ketika kami berusaha mencari penyelesaian yang lebih lestari.

 

Langkah kami yang seterusnya ialah pengintegrasian teknologi akan datang bagi mencipta satu penyelesaian yang “kalis masa depan” dan terbaik untuk para pekerja kami.

 

 

3M

 

 

  1. Kewujudan digital yang kekal – bekerja, berinteraksi, dan bermain di dalam talian

 

Apabila negara-negara mula mengenakan sekatan perjalanan, dunia maya pantas mengambil alih sebagai ganti.

 

Namun ia telah menimbulkan pandangan yang berbeza. Walaupun lebih daripada 64% lebih suka bekerja dari rumah, dengan jumlah responden yang hampir sama (58%) bersedia untuk mencuba kemajuan teknologi terkini seperti rumah lestari dan kenderaan elektrik sepenuhnya, namun masih ada responden lain yang lebih suka meminimumkan peranan peranti dalam kehidupan mereka.

 

Seramai 77% responden menyatakan bahawa mereka mempunyai interaksi yang lebih baik dengan rakan-rakan dan ahli keluarga secara bersemuka berbanding dengan menggunakan teknologi dan platform dalam talian.

 

7 daripada 10 responden juga lebih menggemari hobi yang tidak melibatkan peranti mereka. 75% responden menekankan bahawa masa menghadap skrin yang terlalu lama merupakan isu kesihatan yang perlu ditangani.

 

  1. Menghampiri masa depan AI dengan penuh yakin dan waspada

 

Masa depan AI semakin menghampiri kita. 63% responden di seluruh dunia percaya bahawa kemajuan teknologi AI yang serba canggih seperti kenderaan tanpa pemandu akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

55% juga bersedia untuk menaiki kereta pandu sendiri.

 

Di sebalik keterujaan ini, kita terus mempersoalkan etika dan implikasinya, dan menuntut lebih ketelusan tentang cara teknologi ini digunakan dalam masyarakat.

 

 

3M

 

 

Untuk benar-benar menjana kuasa AI serta data, dan pada masa sama tidak menjejaskan privasi, kerajaan perlu mereka bentuk penyelesaian yang membolehkan data berkualiti dikongsi dengan selamat.

 

Penggunaan AI semakin mendapat sambutan di Malaysia, daripada taman AI negara yang pertama – yang menyasarkan untuk memacu dan mengadaptasikan penggunaan AI di dalam sektor pertanian – hinggalah kepada saranan agar ia disepadukan ke dalam sistem kehakiman Malaysia.

 

Saranan itu telah disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang menegaskan bahawa penyepaduan ini juga boleh membantu mengurangkan jumlah sumber yang diperlukan di mahkamah dan membantu meningkatkan kecekapan dalam mengendalikan kes.

 

Syarikat-syarikat juga perlu berevolusi bagi menangani isu etika berkaitan penggunaan data dan AI yang serba kompleks dan pantas dengan cara yang berprinsip dan beretika.

 

Badan-badan pentadbir perlu memahami data dengan lebih meluas dan mendalam, potensi penggunaannya sekarang dan pada masa depan,  keseimbangan di antara kemungkinan mendapat manfaat yang sangat tinggi dengan kos penggunaan data tanpa tadbir urus.

 

Begitu juga dengan kami, model integriti dan nilai 3M sentiasa membimbing kami dalam segala yang kami lakukan, termasuk bagaimana kami menggunakan AI dalam keseluruhan perniagaan kami, daripada penganalisisan rekod untuk mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan paling efektif dan ekonomi, hinggalah kepada penggunaan data mengenai jalan, bangunan dan alam sekitar bagi mengoptimumkan keselamatan para pekerja dan peralatan pada masa sebenar.

 

Pada skala global, kami menggunakan algoritma untuk menambah baik rantaian bekalan, kualiti pengeluaran dan sumber kami bagi memenuhi keperluan pelanggan kami dengan lebih baik lagi.

 

  1. Kelestarian – bukan sekadar tuntutan, tetapi adalah tanggungjawab

 

Apabila membicarakan tentang kelestarian, kami turut menggesa perniagaan agar melaksanakan apa yang dikatakan.

 

Tiga perempat daripada responden di seluruh dunia menuntut ketelusan daripada jenama yang mengakui bahawa mereka komited terhadap kelestarian.

 

 

3M

 

 

Kami juga percaya bahawa perniagaan perlu benar-benar hijau serta lestari, dan bukan mengeksploitasikannya sebagai taktik pemasaran semata-mata.

 

Malaysia sedang berusaha ke arah menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, namun adakah ia tidak terlalu lewat?

 

Di seluruh dunia, kebanyakan responden (73%) bersedia untuk tinggal di dalam rumah lestari, namun kebanyakan mereka menganggap masyarakat tidak akan mengutamakan kehidupan lestari dalam tempoh terdekat.

 

Malah, 40% merasakan bahawa tenaga boleh diperbaharui tidak akan menjadi sebahagian daripada sumber tenaga utama di bandar mereka dalam tempoh sedekad yang akan datang.

 

Oleh itu, kerajaan perlu mencari jalan yang lebih pantas untuk melaksanakan dasar serta amalan hijau.

 

Bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah menubuhkan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG), yang kemudiannya akan melaksanakan Dana MySDG yang akhirnya menyasarkan untuk menyepadukan prinsip kelestarian yang selari dengan PBB ke dalam rancangan dan dasar pembangunan kebangsaan Malaysia.

 

Kami menyokong sepenuhnya usaha tersebut.

 

Setelah komited ke arah memastikan bahawa setiap produk baharu yang dikomersialkan daripada 2019 dan seterusnya menunjukkan bagaimana ia boleh memacu impak demi kebaikan semua, 3M berusaha setiap hari untuk mereka bentuk penyelesaian yang memberikan lebih banyak manfaat dengan penggunaan bahan yang lebih sedikit, dan memajukan proses pembuatan kami.

 

Untuk pengguna pula, kami membangunkan cara untuk mengurangkan titik sentuh pengguna, yang selalunya membawa kepada pembaziran, dan mencari saluran digital di mana yang boleh untuk mengurangkan kos alam sekitar.

 

 

3M

 

 

Rancangan masa depan

 

Baik atau buruk, pandemik ini pada asasnya telah mengubah cara kita hidup, berinteraksi, dan bekerja.

 

Kita terpaksa mengubah atau mereka bentuk semula sistem serta proses secara radikal untuk menjadikannya lebih fleksibel, mudah, dan versatil.

 

Paradigma baharu ini telah mewujudkan pelbagai cabaran, namun pada masa sama mencipta peluang baharu untuk kita melakukan inovasi di dalam bidang sains dan teknologi, dan mereka bentuk sokongan untuk rancangan masa depan yang berbeza. 

 

Kerajaan, rakan korporat, pemegang taruh lain perlu mengambil tindakan segera untuk menyesuaikan diri dengan perubahan berkenaan dan mencari jalan untuk memanfaatkan trend baru ini. - DagangNews.com

 

Jim Falteisek adalah Naib Presiden Kanan, Hal Ehwal Korporat 3M Asia dan Pengarah Urusan 3M Korea