Bahagian acuan logam Dancomech diunjur catat peningkatan hasil RM108.5 juta bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Bahagian acuan logam Dancomech diunjur catat peningkatan hasil RM108.5 juta bagi FY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - BIMB Securities Reseach mengunjurkan bahagian acuan logam Dancomech Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 40% kepada RM108.5 juta mengatasi bahagian perdagangan pada FY22.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, margin keuntungan kasar yang agak rendah antara 10% - 12% untuk bahagian itu boleh mengganggu had pendapatan kumpulan.

 

"Kami kekal optimis terhadap bahagian acuan logam selepas mengambil kira permintaan kukuh bagi perniagaan sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC).

 

"Selain itu permintaan terhadap perabot logam juga meningkat selepas pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bahagian pengeluaran anak syarikat kumpulan itu, MTL Group sudah mencapai had maksimum antara 90% hingga 95% dan matlamat utama mereka adalah untuk menyelesaikan tempahan tertunggak untuk komponen HVAC selain memenuhi permintaan baharu untuk perabot logam.

 

Katanya, untuk komponen HVAC, MTL boleh menghasilkan sehingga 2.3 juta unit sebulan dengan hampir 90% pengeluaran dikuasai dua pemain terkemuka dalam industri HVAC.

 

"MTL juga menerima tempahan untuk produk perabot logam dari Thailand dan Australia.

 

"Perabot logam MTL adalah reka bentuk Itali yang terkenal dengan kualiti yang baik, ketahanan dan reka bentuk yang inovatif," katanya.

 

Firma itu berkata, dalam usaha untuk memenuhi permintaan produk HVAC, MTL kekal komited untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran menerusi pengambilalihan tanah selain memanfaatkan teknologi automasi serta sistem robotik.

 

"Mereka menjangkakan kapasiti pengeluaran akan meningkat sebanyak 20% dalam tempoh dua tahun," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 37 sen. - DagangNews.com