Bahagian awam IPO Zantat terlebih langgan 130.15 kali | DagangNews Skip to main content

Bahagian awam IPO Zantat terlebih langgan 130.15 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - Bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) Zantat Holdings Bhd telah terlebih langgan sebanyak 130.15 kali.

 

Pengeluar serbuk kalsium karbonat gred tinggi itu berkata, sebanyak 13,755 permohonan bagi mendapatkan 1.84 bilion saham baharu dengan nilai RM459.01 juta diterima daripada orang ramai Malaysia bagi 14.0 juta saham baharu yang disediakan untuk langganan awam.

 

Bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 137.99 kali, selepas sejumlah 8,151 permohonan untuk 972.94 juta saham baharu diterima.

 

Bagi bahagian awam bukan Bumiputera pula, sebanyak 5,604 permohonan untuk 863.11 juta saham baharu telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 122.30 kali.

 

Sementara itu, 11.2 juta saham baharu untuk pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Di samping itu, ejen penempatan Zantat telah mengesahkan bahawa 47.6 juta saham yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Pengarah Urusan Zantat, Ivan Chan berkata, dengan adanya dana IPO, kumpulan itu kini boleh mengembang dan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam industri kalsium karbonat dan produk terbiodegradasi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Zantat sasar kumpul RM14 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

“Kami akan menggunakan dana yang diraih untuk mengembangkan barisan pengeluaran kalsium karbonat kami, serta menaik taraf kemudahan penyelidikan dan pembangunan sedia ada kami dalam Kilang 1 kumpulan di Perak.

 

"Dengan adanya pusat R&D yang dinaik taraf dan keupayaan ujian yang dipertingkatkan, kami akan fokus kepada pembangunan produk dalaman dan meningkatkan produk kami kepada pelanggan baharu dan sedia ada selain usaha niaga hiliran baharu, pengkompaunan bioplastik," katanya.

 

Kumpulan itu dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Mac 2024, menyasarkan untuk mengumpul RM14 juta daripada daripada terbitan IPO.

 

Menerusi penyenaraian itu, Zantat menerbitkan 56 juta saham baharu, mewakili 20% daripada modal saham yang diperbesarkan pada harga terbitan 25 sen sesaham.

 

Sebagai sebahagian daripada penyenaraian, pemegang saham sedia ada syarikat itu turut membuat tawaran untuk penjualan 16.8 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 280 juta saham, kumpulan itu dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM70 juta selepas penyenaraian.- DagangNews.com