Bahagian pembuatan diunjur lonjakkan pendapatan PGF Capital bagi FY25-FY26, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Bahagian pembuatan diunjur lonjakkan pendapatan PGF Capital bagi FY25-FY26, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - TA Securities mengunjurkan bahagian pembuatan akan melonjakkan pendapatan PGF Capital Bhd bagi FY25-FY26 disokong oleh keperluan perumahan yang ketat di Australia serta pelancaran projek infrastruktur seperti LRT dan pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang. 

 

Katanya, pertambahan permintaan memerlukan syarikat untuk mematuhi pelan pengembangan kerana kekurangan kapasiti.

 

"Kumpulan itu sedang mencari tanah di Kulim atau Banting, malah mempertimbangkan untuk menukar gudang sedia ada di Seberang Prai bagi memberi laluan kepada kapasiti tambahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 69.8% kepada RM6.7 juta pada suku pertama berakhir 31 Mei 2024 (1QFY25) berbanding RM3.95 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Ia didorong oleh hasil yang lebih tinggi sebanyak RM40.5 juta, meningkat 42.1% daripada RM28.5 juta pada 1QFY24.

 

Hasil yang lebih tinggi itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh sumbangan jualan yang lebih tinggi daripada segmen penebat berikutan permintaan kukuh daripada pasaran Oceania.

 

Segmen penebat kekal sebagai penjana hasil teras, menyumbang 99.5% daripada jumlah hasil.

 

Segmen perniagaan yang selebihnya iaitu pembangunan hartanah, pegangan pelaburan dan segmen-segmen lain mempunyai kesan yang kecil terhadap prestasi keseluruhan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tiada perubahan dibuat kepada unjuran pendapatan kumpulan bagi FY25-FY26. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham," katanya. - DagangNews.com