Baja FGV laris semasa PKP | DagangNews Skip to main content

Baja FGV laris semasa PKP

Produk baja oleh FGV: SF65: Baja Subur and SB45: Baja Penggalak Bunga dan Buah 

 

KUALA LUMPUR 7 Ogos - FGV Holdings Berhad (FGV) meneroka pasaran khusus untuk perniagaan bajanya berikutan peningkatan permintaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan perkebun persendirian dan komuniti pertanian bandar.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, ini adalah trend positif di mana masyarakat lebih peka mengenai jaminan makanan.


Menurut beliau, ia memberi FGV peluang untuk meneroka pasaran pengguna dengan produk sedia ada yang telah dihasilkan selama bertahun-tahun.


``Inisiatif kami ke segmen produk pengguna akan mewujudkan kepelbagaian, menambah nilai dan penembusan pasaran baru,” katanya di sini hari ini.


Melalui anak syarikatnya FGV Fertiliser Sdn Bhd, FGV memiliki 15% pegangan pasaran dengan lebih daripada 680,000 MT baja sebatian, baja padat dan baja campuran/tunggal dihasilkan setiap tahun, termasuk formulasi yang disesuaikan dengan kehendak pelanggan. Baja FGV dipasarkan dengan jenama sendiri iaitu Sun Bear, Sunflower dan Felda Series.


Untuk memenuhi permintaan baharu bagi pembelian runcit, FGV mulai membungkus formulasi bajanya dalam botol 1kg untuk tanaman rumah, pohon buah-buahan, tanaman hiasan dan tanaman lanskap dengan jenama SB45: Baja Penggalak Bunga dan Buah.

 

ba


Pada bulan Julai, FGV juga telah memformulasikan jenama SF65: Baja Subur, yang sesuai untuk sayur-sayuran dan juga buah-buahan.


Kedua-dua baja ini diformulasikan untuk memperoleh pengeluaran yang berkualiti untuk pohon buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman. Ia merangsang penghasilan buah untuk pohon buah-buahan dan membantu tanaman lain membangunkan daya tahan terhadap penyakit, yang merupakan faktor penting untuk menggalakkan pertumbuhan tanaman.


“FGV telah menjual lebih daripada 13,000 botol hingga bulan Julai tahun ini berbanding penjualan 16,000 botol sepanjang tahun lalu. Lonjakan minat dalam aktiviti perkebunan di rumah dan pertanian bandar sepanjang tempoh PKP telah memberi peluang kepada FGV untuk mengembangkan perniagaan bajanya. Kami mensasarkan untuk menjual 40,000 botol baja sebatian pada tahun 2021. Selain itu, kami juga akan mengumumkan siri baja organik untuk memenuhi permintaan pengguna yang luas,” tambah Haris Fadzilah.
 

Dengan kepakaran industri lebih 30 tahun, FGV adalah salah satu pengeluar baja sebatian terbesar di Malaysia, dengan kilang pengeluaran pertama di dunia yang mempunyai fleksibiliti untuk menghasilkan sebatian berasaskan Urea atau Ammonium Sulphate. Kilang ini dibina dengan bantuan pakar daripada Pusat Pembangunan Baja Antarabangsa, dan ini menjadikan FGV sebagai pengeluar baja sebatian yang unik dan sangat kompetitif di rantau ini.
 

Baja sebatian adalah baja kimia yang mengandungi nutrien yang lengkap dan seimbang untuk tanaman melalui campuran nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) atau NPK terkandung di dalam setiap butiran. Ketiga-tiga baja nutrien makro NPK dikenali di kalangan peminat aktiviti berkebun kerana berkesan dalam mengalakkan pengeluaran tinggi buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih sihat. - DagangNews.com