Bajet 2021: Syarikat perisian Sage Malaysia senarai 3 ‘hajat’ perkasa PKS | DagangNews Skip to main content

Bajet 2021: Syarikat perisian Sage Malaysia senarai 3 ‘hajat’ perkasa PKS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Cabaran semasa dan tekanan kewangan dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat penularan COVID-19 memerlukan ‘perhatian’ khusus terutamanya melibatkan aspek digital daripada pihak kerajaan dalam Bajet 2021. 

Walaupun pelbagai usaha fiskal telah dilaksanakan sebelum Bajet 2021, namun syarikat teknologi perisian, Sage Malaysia melihat PKS masih bergelut untuk terus bertahan.

Sehubungan itu, Ketua Jualan Perniagaan Permulaan dan Kecil (SSB) Sage Asia, Azlan Ahmad menyenaraikan tiga langkah fiskal strategik bagi Bajet 2021 yang dapat membantu PKS di Malaysia untuk pulih dan berdaya tahan.

 

Azlan Ahmad
Azlan Ahmad

 

i. Program inkubasi intensif untuk PKS

Azlan berkata, program inkubasi yang dilaksanakan di pasaran Asia lain terbukti berkesan dalam perjalanan digital PKS yang mementingkan sokongan secara terperinci.

“Pemilik perniagaan selalunya tidak memiliki pengetahuan berkaitan tentang bagaimana untuk memanfaatkan potensi e-perdagangan. Program inkubasi ini amat berguna untuk melengkapkan PKS dengan kemahiran penting untuk mewujudkan sebuah strategi dalam talian yang berjaya.

“Kami mencadangkan inkubasi khusus untuk PKS dan pemilik perniagaan kecil pada tahap digitalisasi mereka. Pembiayaan program ini diperlukan untuk menggerakkan sumber-sumber seperti lesen perisian, rundingan pakar industri, pusat bantuan, panduan pengguna komprehensif, hab latihan, sokongan rakan kongsi teknologi dan portal untuk sokongan rakan-ke-rakan,” jelasnya. 

 

ii. Rangsangan untuk menggalakkan pembayaran digital

Bagi Sage Malaysia, pakej rangsangan kerajaan untuk mengoptimumkan lagi platform perbelanjaan e-perdagangan yang lancar penting dalam keadaan ekonomi ketika ini. 

Jelas Azlan, penggunaan e-dompet yang meluas dapat mengekang penularan COVID-19 memandangkan teknologi itu dapat mengurangkan penggunaan tunai secara fizikal. 

“Pembayaran digital dapat memacu perniagaan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan membolehkan mereka melaksanakan dagangan digital merentas sempadan. Pakej rangsangan ini digunakan untuk memberi subsidi pelaksanaan dan mengurangkan komisen yang perlu dibayar oleh perniagaan kepada platform e-perdagangan sekali gus menggalakkan PKS untuk membuat transaksi dalam talian.

“Sekiranya dilaksanakan, kami mencadangkan bahawa PKS ini berhak mendapat pemotongan cukai apabila mencapai jumlah sasaran transaksi dalam talian,” tambah Azlan.  

 

iii. Platform ekonomi gig untuk membantu segmen ‘pengangguran’

Memandangkan kadar pengangguran terus meningkat, Sage Malaysia melihat tenaga kerja yang tidak digunakan melonjak saban hari. 

Bagi mengurangkannya, Azlan mencadangkan kerajaan untuk memacu dan membiayai perkembangan sebuah portal yang khusus untuk mengembangkan ekonomi gig - terdiri daripada pekerja bebas, pekerja berdasarkan projek, kontraktor persendirian dan pekerja sambilan.

“Ini akan menjadi sistem pasaran percuma di mana menyediakan jawatan sementara oleh industri atau kemahiran. Perniagaan yang masih bergelut dapat menerima manfaat besar daripada langkah ini di mana dapat mengurangkan perbelanjaan tenaga kerja yang ditanggung untuk pekerja sepenuh masa dan membolehkan penganggur untuk mencari pekerjaan bersesuaian.

“Walaupun platform sedemikian sudah ada, namun ia belum digunakan meluas atau dibualkan setiap hari. Memandangkan tempoh moratorium berakhir, tekanan untuk mencari pekerjaan dan pendapatan semakin meningkat, dan ini merupakan masa paling tepat untuk menghubungkan perniagaan dengan tenaga kerja gig serta mewujudkan pekerjaan dan pendapatan berterusan untuk mereka,” katanya. - DagangNews.com