Bajet 2022 ambil kira manfaat untuk golongan belia dan bujang | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 ambil kira manfaat untuk golongan belia dan bujang

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Nov - Manfaat kepada golongan belia dan bujang tetap diambil kira oleh kerajaan dalam sesi pembentangan Bajet 2022 selepas kerajaan mengambil kira keperluan setiap lapisan masyarakat.

 

Timbalan Ketua Ekonomi, Kementerian Kewangan (MoF), Dr. Nirwan Noh berkata walaupun ketika pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas kurang menyebut mengenai manfaat secara khusus berkaitan belia dan bujang, namun prinsip tiada yang terpinggir tetap dipegang oleh kementerian.

 

“Sebenarnya MoF, bagi bajet kali ini, kami cuba ringkaskan ucapan dan langkah-langkah yang perlu dikongsikan. 

 

"Jadi yang dinyatakan dalam ucapan bajet adalah perkara-perkara utama. 

 

“Tetapi semua langkah secara terperinci ada disertakan dalam lampiran ucapan Bajet 2022 yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang MoF,” katanya dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Pembentangan Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ memperuntukkan sejumlah RM322.1 bilion dengan fokus kepada tiga teras utama iaitu memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.

 

Antara manfaat yang dicadangkan kerajaan untuk golongan bujang ialah mereka yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima RM350 di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) manakala warga emas tanpa pasangan dengan pendapatan bawah RM5,000 akan menerima RM600.

 

bajet

 

Nirwan berkata BKM, yang bersifat bantuan secara bersasar, dengan peruntukan besar sebanyak RM8.2 bilion dijangka memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima.

 

Beliau berkata ia penting sebagai satu jaringan keselamatan sosial dan diharap dapat mengurangkan kos hidup dan beban rakyat berpendapatan rendah akibat kesan pandemik COVID-19.

 

“Penyediaan BKM ini merupakan hasil penambahbaikan selepas kita memperoleh maklum balas melalui Kertas Konsultasi Awam Program Bantuan Tunai Kerajaan yang diedarkan kepada orang awam sebelum ini,” katanya.

 

Beliau berkata, ia bagi menyokong kesejahteraan dan kehidupan rakyat, memastikan kemampanan perniagaan dan memacu pemulihan ekonomi.

 

“Dalam proses penyediaan bajet ini, pelbagai sesi libat urus telah diadakan. 

 

"Ia melibatkan lebih kurang 30 sesi kumpulan fokus, 80 sesi sumbang saran, mengkaji lebih 1,100 memorandum yang dikemukakan oleh pihak industri danpertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain telah menerima lebih 50,000 cadangan melalui portal Bajet 2022 yang dibuka kepada masyarakat umum,” katanya.-DagangNews.com.