NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR Okt. -Kerajaan akan memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) antara 10-15% bermula 1 November ini sehingga 30 April 2022.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dilakukan bagi memudahkan proses bayaran balik dan memupuk sikap bertanggungjawab.
Kata beliau, diskaun berkenaan meliputi 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman manakala 12 peratus diberikan untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
Tengku Zafrul berkata, peminjam juga ditawarkan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.
“Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi mengurus pinjaman pendidikan yang disediakan sebagai kemudahan kepada pelajar institusi pengajian tinggi tempatan.
“Sebagai pinjaman, semestinya ia satu amanah yang wajib dibayar semula oleh peminjam, jika tidak, ia menafikan peluang anak-anak kita pada masa hadapan,” katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM450 juta bersama syarikat telekomunikasi terpilih bagi melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.
Katanya, komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta dan ia akan memberi manfaat kepada 600,000 mahasiswa daripada keluarga B40
"Kerajaan turut mengumumkan kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.
"Sebagai usaha menggalakkan Keluarga Malaysia mengikuti program latihan serta menceburi bidang baharu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga 2023," katanya.-DagangNews.com