Bajet 2022 : Kementerian Pendidikan terima peruntukan terbesar RM52.6 bilion | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 : Kementerian Pendidikan terima peruntukan terbesar RM52.6 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16% daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.

 

Dalam pembentangan petang ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bajet tersebut kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara.

 

Sementara itu, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi bakal diperuntukkan sejumlah RM14.5 bilion.

 

"Tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan. 

 

"Setiap awal tahun, tentunya ibu bapalah yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anakanak. 

 

"Bagi tahun 2022, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 ringgit iaitu meningkat berbanding RM100 sebelum ini," katanya.

 

Di bawah inisiatif, beliau berkata, sebanyak RM450 juta diperuntukkan yang dijangka memanfaatkan 
3 juta murid-murid yang layak.

 

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, kerajaan akan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukan RM400 juta. - DagangNews.com