NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR Okt. - Bajet 2022 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' akan mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bajet 2022 mempunyai matlamat kekal menerusi tiga fokus induk iaitu Rakyat Yang Sejahtera, Perniagaan Yang Berdaya Tahan dan Ekonomi Yang Makmur dan Mampan.
Katanya, tumpuan utama bajet tersebut adalah untuk memulihkan semula segmen sosioekonomi negara selain berusaha membina daya tahan bagi mengukuh keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan dalam mendepani cabaran mendatang serta melangkah ke hadapan supaya seiring dengan landskap dunia teknologi tanpa sempadan serta agenda kelestarian.
"Seperti tahun lalu, Bajet 2022 dirangka dengan mengekalkan tradisi keterbukaan #TeamMOF. Bajet ini terhasil dari siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan fokus selain mengkaji lebih 1,100 memorandum dan hampir 50 ribu cadangan yang diterima melalui portal Bajet 2022.
"Lebih bermakna, Bajet 2022 dirangka setelah 80 sesi sumbang saran bersama ahli-ahli Yang Berhormat merentasi doktrin politik, tak kira kerajaan atau pembangkang.
"Tidak cukup dengan itu, bagi meningkatkan ketelusan penyediaan bajet tahunan, buat julung-julung kalinya #TeamMOF telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet 2022 dan empat Kertas Konsultasi Awam merangkumi topik berkenaan penambahbaikan perolehan kerajaan, pemberian bantuan tunai, insentif cukai dan tanggungjawab fiskal," katanya dalam sesi pembentangan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Tengku Zafrul berkata,walaupun suku ketiga tahun ini dijangka terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketiga, namun suku keempat dijangka akan memulih apabila hampir semua negeri beralih ke fasa empat serta sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.
Katanya, secara keseluruhan pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang antara 3 hingga 4% bagi tahun ini.
"Pada tahun depan, ekonomi negara diunjur terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5% berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan strukturnya yang pelbagai.
"Namun, prestasi ini turut bergantung kepada faktorfaktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia," katanya.-DagangNews.com