Bajet 2023: Pertama Digital cadang kerajaan labur dalam segmen teleperubatan, teknologi baharu | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Pertama Digital cadang kerajaan labur dalam segmen teleperubatan, teknologi baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - Pertama Digital Bhd berharap kerajaan memberi tumpuan kepada 10 cadangan dalam usaha mencipta masa depan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia sempena pembentangan semula Bajet 2023 pada Jumaat ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan untuk melabur dalam pembangunan penyelesaian teleperubatan yang membolehkan rakyat Malaysia mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan selesa dari rumah mereka. 

 

Katanya, dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dari jauh, ia boleh membantu mengurangkan beban hospital dan klinik, menambah baik akses kepada penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar dan memastikan rakyat boleh mengakses penjagaan kesihatan yang berkualiti.

 

"Cadangan kedua, kerajaan diseru melabur dalam inovasi penjagaan kesihatan, terutamanya dalam pembangunan teknologi dan rawatan perubatan baharu. 

 

"Ini termasuk menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor penjagaan kesihatan, menyediakan insentif untuk penggunaan teknologi baharu, dan melabur dalam program pendidikan dan latihan perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Saify berkata, pihaknya juga mencadangkan kerajaan memberi bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah bagi meringankan beban kewangan mereka.

 

Beliau berkata, selain itu pelaksanaan dasar yang menggalakkan pengurangan kos sara hidup, seperti menyediakan insentif cukai kepada syarikat yang menawarkan produk dan perkhidmatan mampu milik.

 

 

pertama
                                       Saify Akhtar

 

 

Katanya, kerajaan juga diseru melabur bagi menambah baik pengalaman digital perkhidmatan awam. 

 

"Ini boleh dicapai dengan menyediakan insentif kepada syarikat yang menawarkan penyelesaian digital dalam meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam. Di samping itu, kerajaan wajar melabur dalam meningkatkan literasi digital rakyat Malaysia, khususnya mereka di kawasan luar bandar," katanya.

 

Seterusnya, kerajaan perlu melabur dalam dalam inisiatif pembangunan mampan yang membantu melindungi alam sekitar dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. 

 

Ujar Saify, ini termasuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui (RE), pertanian mampan dan infrastruktur hijau, yang mana dapat mencipta pekerjaan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

 

"Kami mencadangkan agar kerajaan melabur dalam program pendidikan dan latihan kemahiran yang boleh membantu rakyat membangunkan kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya dalam ekonomi abad ke-21. Ini termasuk menyediakan bantuan kewangan untuk pelajar, memperluaskan program latihan vokasional, dan mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

 

"Cadangan ketujuh, pelaburan dalam pembangunan infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar. Ini termasuk memperluaskan akses kepada internet berkelajuan tinggi, mempromosikan pembangunan platform e-dagang, dan melabur dalam sistem pembayaran digital," katanya.

 

 

bajet

 

 

Katanya, kerajaan diseru menyediakan insentif untuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam sektor teknologi, menerusi bantuan kewangan, menggalakkan pembangunan inkubator dan pemecut teknologi serta memudahkan akses kepada pembiayaan dan sumber.

 

Untuk cadangan kesembilan, pihaknya mencadangkan kerajaan melabur dalam jaringan keselamatan sosial yang mampu melindungi rakyat Malaysia yang terdedah daripada kejutan ekonomi. 

 

"Ini termasuk memperluaskan program kebajikan sosial, menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah dan menggalakkan program celik kewangan dan simpanan," kata Saify.

 

Tambahnya, pelaburan dalam inisiatif perlindungan alam sekitar juga penting untuk membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dan menggalakkan pembangunan mampan. 

 

Katanya, ini termasuk melabur dalam RE, mempromosikan infrastruktur hijau dan membangunkan program untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. - DagangNews.com