Bajet besar pertahanan Singapura, bagaimana pula Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Bajet besar pertahanan Singapura, bagaimana pula Malaysia?

Singapura merupakan contoh sebuah negara yang mempunyai angkatan tentera dengan kekuatan seimbang.
Analisis Berita oleh ZAKI SALLEH

BELANJAWAN pertahanan Singapura antara yang terbesar di rantau ini telah menyaksikan negara itu konsisten dalam memajukan perolehanan ketenteraan.

 

Sejak dua dekad lalu, Singapura memperuntukkan sekitar 7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tujuan pertahanan.

 

Bagi tahun ini, negara seberang tambak itu memperuntukkan sebanyak S$17.98 bilion (RM59.60 bilion) bagi perbelanjaan ketenteraannya.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak S$17.04 bilion (RM56.49 bilion) akan disalurkan kepada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bagi perolehan kelengkapan, senggaraan peralatan dan kem serta gaji.

 

Sebanyak S$871.31 juta (RM2.8 bilion) pula akan dibelanjakan bagi projek pembinaan yang tertangguh semasa COVID-19 termasuk pembangunan NS Square untuk menggantikan platform terapung Marina Bay.

 

Bagi sebuah negara pulau yang saiznya lebih kecil berbanding Pulau Langkawi, jumlah ini sangat besar tetapi sebenarnya seimbang dengan keperluan republik itu.

 

Seperti kelaziman dalam pembentangan belanjawan republik itu, Kementerian Pertahanan (Mindef Singapura) mendapat peruntukan paling besar diikuti Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pendidikan (MOE).

 

 

parafrasa
Belanjawan pertahanan besar membolehkan Singapura melaksanakan pembangunan kententeraan secara konsisten.

 

 

Tahun ini, MOH menerima peruntukan sebanyak S$16.88 bilion (RM55.96 bilion) manakala MOE S$14.6 bilion (RM48.40 bilion).

 

Pada belanjawan tahun lalu, Mindef Singapura diberi peruntukan berjumlah S$16.36 bilion (RM54.23 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 6.5% berbanding tahun 2021.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak S$15.76 bilion adalah untuk pembangunan pertahanan.

 

Singapura seperti juga negara jiran serantau lain iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina giat melaksanakan pemodenan aset secara konsisten apabila ada sahaja kelengkapan baharu diterima.

 

Dalam hal ini, Singapura dilihat lebih maju kerana perancangan pemodenan termasuk melibatkan industri pertahanan tempatan yang turut menyumbang pada ekonomi ekonomi.

 

Mengikut data pada tahun 2020, nilai eksport sektor pertahanan Singapura ialah AS$20.6 juta dan menjadi negara ke-41 pengeksport senjata dunia.

 

Antara negara pengimportnya adalah Indonesia, Afrika Selatan, Thailand, Kanada dan  New Zealand.

 

Pada tahun itu juga eksport pertahanan menduduki tempat ke-21 dalam senarai produk eskport negara itu.

 

Sebagai perbandingan, Malaysia yang membelanjakan berbilion ringgit dalam perolehan ketenteraan tetapi mempunyai industri pertahanan yang tidak kompetitif.

 

Industri pertahanan negara hampir keseluruhannya terlalu bergantung pada kontrak kerajaan khusus Angkatan Tentera Malaysia.

 

Berlainan dengan Singapura, SAF giat melaksanakan rancangan pemodenan seperti pelaburan untuk meningkatkan keupayaan tentera darat, antaranya bagi program pembangunan kenderaan armor baharu (Next-Generation Armoured Fighting Vehicle - NGAFV).

 

Turut dibangunkan ialah program meriam howitzer kaliber 155mm, kenderaan perisai pembawa anggota dan pelbagai jenis sistem pesawat udara tanpa pemandu (UAV).

 

Dalam aspek pertahanan, Singapura disifatkan telah berdikari berbanding Malaysia apabila beberapa sistem persenjataan utama dihasilkan sendiri menerusi teknologi kejuruteraan tempatan.

 

Jika mengambil kira penggunaan aset-aset moden pula, Singapura sentiasa mendahului di rantau ini.

 

 

zaki
Pesawat F-35B Lightning II

 

 

Pada Januari 2020, Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan 12 buah pesawat tempur tercanggih, F-35B Joint Strike Fighter (JSF) kepada Singapura.

 

Ini menjadikannya sebagai negara Asia Tenggara pertama memiliki pesawat tersebut yang mana perolehan pertama melibatkan empat buah pesawat dengan opsyen lapan buah kemudian.

 

Setiap pesawat dianggarkan berharga S$160 juta (RM530.38 juta) menjadikannya sebagai perolehan kelengkapan pertahanan moden termahal bagi negara itu.

 

Keseluruhannya perolehan pesawat ini melibatkan peruntukan besar iaitu kira-kira AS$2.75 bilion (RM11 bilion).

 

Dalam pada itu, Jabatan Negara AS baru-baru ini juga telah meluluskan penjualan kira-kira 1,000 kit  JDAM (Joint Direct Attack Munition) iaitu bagi menukarkan bom biasa kepada bom pintar. 

 

Turut diluluskan ialah 250 unit kit bom panduan laser Paveway II.

 

Ini antara pembelian terbesar bagi perolehan kit bom panduan pintar yang pernah dibuat republik itu sekali gus menggandakan kemampuan operasi tentera udaranya dengan kos AS$55 juta.

 

Tentera udara Singapura ketika ini sedang menaik taraf pesawat-pesawat F-16C/D Blok 52 termasuk membolehkan pesawat melancarkan peluru berpandu JDAM dan AIM-9X selain meningkatkan sistem radar dan avionik.

 

 

zaki
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semasa melancarkan dua buah kapal selam terbaru negara itu di Jerman tahun lalu.

 

 

Angkatan laut Singapura pula misalnya adalah contoh terbaik bagaimana sesebuah armada negara kecil tetapi moden.

 

Dengan jumlah 37 buah kapal perang termasuk lima kapal selam, ia mempunyai komposisi kapal-kapal berlainan peranan yang mencukupi bagi melindungi perairannya.

 

Akan datang Singapura bercita-cita membina kapal induk yang diklasifikasikan sebagai Joint Multi-Mission Ships (JMMSs) sepanjang 165 meter dengan berat 14,500 tan.

 

Ia boleh membawa sehingga tujuh buah helikopter selain diperanankan bagi misi bantuan kemanusiaan.

bajetbaru

Malaysia

Bagaimana pula dengan perbelanjaan pertahanan negara kita? Jumaat ini Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan. 

 

Adakah masih kekal dengan RM17.4 bilion sepertimana diumumkan sebelum ini atau jumlahnya lebih kecil?

 

Kita faham keutamaan akan diberikan kepada aspek kesejahteraan rakyat berbanding persenjataan tetapi jika perairan negara tidak dapat dikawal dengan baik akibat peralatan usang, negara juga akan mengalami kerugian.- DagangNews.com