Bank digital dijangka percepatkan penggunaan ‘blockchain’ - Maybank Kim Eng | DagangNews Skip to main content

Bank digital dijangka percepatkan penggunaan ‘blockchain’ - Maybank Kim Eng

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Teknologi blok rantai atau ‘blockchain’ semakin diterima oleh pelbagai industri dan masyarakat umum memandangkan lebih banyak bank dan institusi lain mula meneroka penggunaannya dalam pembayaran dan pemindahan wang rentas sempadan.

 

Maybank Kim Eng Research yang memetik kenyataan Pengerusi Bersama Blockchain Association, Chia Hock Lai memberitahu bahawa kewujudan bank digital akan mempercepatkan penggunaan blockchain di luar ruang pasaran mata wang kripto dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

 

Ini antaranya melibatkan token tidak boleh ditukar ganti (non-fungible token - NFT), kewangan tidak berpusat (DeFi) dan tokenisasi aset dunia sebenar.

 

“Memandangkan teknologi blockchain berkembang melebihi pasaran mata wang kripto yang aktif meningkat, ASEAN melihat perkembangan kawal selia semakin aktif untuk memperluaskan penggunaannya menerusi pasaran kewangan,” jelas Maybank Kim Eng. 

 

Ini disokong oleh kenyataan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ethikom Consultancy, Nizam Ismail pada webinar “Crypto Opportunities & Hurdles” anjuran Maybank Kim Eng, hari ini yang melihat blockchain dengan jelas telah merangsang perkembangan aspek kawal selia di rantau ini.

 

“Kami melihat pihak kawal selia di ASEAN secara aktif mengetengahkan penggunaan blockchain dalam perkhidmatan kewangan serta kutipan dana korporat.

 

Nizam Ismail
Nizam Ismail

 

“Pertimbangan dasar asas bermula daripada fokus kepada perlindungan pelabur hinggalah langkah untuk memudahkan (penggunaan blockchain),” katanya.

 

Beliau memberi contoh Malaysia yang mengambil pendirian untuk melipat gandakan kawal selia mata wang kripto ke dalam kerangka kerja keselamatan dan memperkenalkan lesen bagi platform pertukaran mata wang kripto.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Risiko Kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank), Gilbert Kohnke mendedahkan bahawa bank itu sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak kawal selia untuk memahami penggunaan kes dan risiko pasaran mata wang kripto.

 

Gilbert Kohnke
Gilbert Kohnke

 

“Apa yang penting adalah kami bekerjasama rapat dengan pihak kawal selia untuk memahami sepenuhnya dan kemungkinan penggunaan kes serta risiko sebelum melancarkan apa-apa bentuk produk atau perkhidmatan berkaitan kripto. 

 

“Sebagai sebuah bank komersial terbesar di Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab kepada pelanggan dan rakan kongsi untuk melindungi keselamatan kewangan dan kepentingan mereka,” ujar beliau. - DagangNews.com