Bank Islam terima bantuan bersasar mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

Bank Islam terima bantuan bersasar mulai hari ini

 

 


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Bank Islam Malaysia Berhad bersedia menerima permohonan bagi Penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (ETRA) mulai hari ini. 

 

Bantuan ini melibatkan segmen dari segmen B40, M40 dan perusahaan mikro yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, ia disediakan untuk semua pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada waktu permohonan.

 

Katanya, pelanggan yang telah menerima sebarang bentuk bantuan pembayaran balik dan berhasrat untuk memohon bantuan lanjut di bawah langkah-langkah tambahan ini masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi Bank Islam.

 

"Sejak penularan pandemik COVID-19 ini, kami telah menawarkan pelbagai bentuk kemudahan bagi meringankan kekangan kewangan pelanggan. 

 

"Bank Islam sedar bahawa pandemik ini telah mengakibatkan ketidaktentuan dan menggesa para pelanggan kami supaya sentiasa menyemak kedudukan kewangan masing-masing," katanya dalam kenyataan. 

 

Penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar telah diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, semasa pembentangan Belanjawan 2021, 6 November lalu. 

 

Menurut Mohd. Muazzam, mesej Bank Islam sentiasa konsisten sejak dari mula, iaitu  bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan

 

"Hubungi kami dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu anda mengatasi situasi mencabar ini. 

 

"Sama seperti bantuan pembayaran balik bersasar, ETRA ini disediakan sehingga Jun 2021," jelasnya. 

 

Mulai hari ini, pihak bank akan menawarkan ETRA bagi tiga kategori iaitu individu B40, individu M40 yang berdaftar di dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebagai individu atau isi rumah terjejas serta perusahaan mikro.

 

Ketiga-tiga kategori ini boleh membuat penangguhan bayaran ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan sehingga 50% bayaran ansuran bulanan sehingga 6 bulan.

 

Individu B40 dan perusahaan mikro tidak perlu mengemukakan dokumen, manakala individu M40 perlu mengemukakan borang pengisytiharan kendiri. - DagangNews.com