Bank Muamalat dinobat sebagai bank runcit Islam terbaik Malaysia 2023 | DagangNews Skip to main content

Bank Muamalat dinobat sebagai bank runcit Islam terbaik Malaysia 2023

Bank Muamalat diiktiraf sebagai 'Bank Runcit Islam Terbaik Malaysia 2023 pada Majlis Anugerah Perbankan Runcit Islam (IRBA) ke-9 di Bahrain, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Bank Muamalat Malaysia Bhd diiktiraf sebagai 'Bank Runcit Islam Terbaik Malaysia 2023' dan menerima anugerah 'IRBA CEO of the Year' di Majlis Anugerah Perbankan Runcit Islam (IRBA) ke-9, yang diadakan di Manama, Bahrain.

 

IRBA dalam tahun ke-9nya, berdiri sebagai platform global yang mengiktiraf kecemerlangan dalam perbankan peruncitan Islam.

 

Majlis tahun ini menyaksikan lebih 50 entiti terkemuka dari seluruh dunia memperjuangkan pengiktirafan, menekankan peranan penting perkhidmatan kewangan Islam di pasaran peringkat antarabangsa.

 

Anugerah Bank Runcit Terbaik di Malaysia 2023 dianugerahkan berikutan penyelidikan peringkat global komprehensif yang dijalankan oleh Institut Kewangan Islam Cambridge dengan kerjasama Hamdan Bin Mohamed Smart University di  Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya menzahirkan kesyukuran diiktiraf sebagai Bank Runcit Islam Terbaik Malaysia. 

 

Beliau berkata, ia adalah bukti komitmen bank untuk membuat pembiayaan Islam yang boleh diakses semua rakyat Malaysia, dan memastikan semua boleh mencapai 'kehidupan yang lebih baik, bersama-sama'.

 

Di luar keuntungan katanya, kejayaan pihaknya diukur dengan kesan pertumbuhan dalam pendigitalan dan rumusan syariah yang inovatif sambil meletakkan kepuasan pelanggan di tengah-tengah operasi mereka.

 

 

bank muamalat
Khairul Kamarudin (kanan) menerima anugerah CEO of The Year 2023 pada Majlis Anugerah Perbankan Runcit Islam (IRBA) ke-9, di Manama, Bahrain, baru-baru ini.

 

"Anugerah ini tidak mungkin tanpa kepercayaan pelanggan kami, bimbingan berterusan daripada ahli lembaga dan sokongan daripada seluruh pasukan di Bank Muamalat. 

 

"Kami berharap pencapaian ini akan mendorong kami untuk lebih berjaya dalam perjalanan untuk menjadi bank Islam terkuat di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Memperkukuh lagi kecemerlangan Bank Muamalat, Khairul turut menerima penghormatan dengan anugerah IRBA CEO of the Year 2023. Menerusi pengiktirafan tersebut, beliau mengaitkan kejayaan itu terhadap komitmen tidak berbelah bahagi dan kerja keras kakitangan bank berkenaan.

 

 

bank muamalat

 

 

"Saya berbesar hati menerima anugerah IRBA CEO of the Year 2023. Pengiktirafan ini didedikasikan untuk pelanggan kami dan wira sebenar Bank Muamalat, iaitu para pekerja atas kerja keras mereka yang cemerlang. Ia adalah komitmen kolektif kami untuk kemajuan yang membuat perubahan positif," katanya.

 

Bank Muamalat kekal komited untuk meningkatkan penawarannya, memupuk inovasi, dan menguatkan impaknya dalam landskap perbankan Islam.

 

Anugerah itu sebagai bukti kepada dedikasi bank terhadap kecemerlangan dan usaha berterusannya untuk berkhidmat kepada pelanggan dan komunitinya. - DagangNews.com