Untung bersih 4QFY24 Skyworld susut 64.3% kepada RM20.7 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 4QFY24 Skyworld susut 64.3% kepada RM20.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Untung bersih suku keempat berakhir 31 Mac 2024 (4QFY24) Skyworld Development Bhd menyusut 64.3% kepada RM20.7 juta berbanding RM58.2 juta disebabkan penurunan hasil pada suku berkenaan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bagi suku berkenaan menyusut sebanyak 29.9% kepada RM158.3 juta disebabkan penyiapan SkySierra Residences (The Valley) dan SkyAwani V Residences pada suku sebelumnya, yang secara kolektif menyumbang pendapatan RM127.8 juta pada 4QFY23.

 

Bagaimanapun, impaknya berjaya dikurangkan oleh peningkatan dalam hasil yang diiktiraf daripada projek yang sedang dijalankan pada 4QFY24.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi FY24 juga menyusut kepada RM106.9 juta berbanding RM143.9 juta bagi suku sama tahun sebelumnya didorong hasil sebanyak RM688.6 juta iaitu RM152.8 juta lebih rendah pada FY23. 

 

"Penyusutan hasil itu disebabkan oleh hasil progresif yang lebih rendah yang diiktiraf daripada SkySierra Residences (The Valley), yang telah disiapkan dan dihantar kepada pelanggan kami pada suku kedua tahun kewangan semasa," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, bagi FY25 kumpulan itu merancang untuk melancarkan projek baharu di Kuala Lumpur dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM1 bilion tetapi bergantung kepada keadaan pasaran semasa.

 

Katanya, sehingga 31 Mac 2024, jualan belum dibilkan berjumlah RM548.1 juta, memberikan keterlihatan asil yang lebih baik pada masa hadapan.

 

"Sebagai usaha mengejar pertumbuhan baharu, kumpulan itu akan terus meneroka peluang mendapatkan lebih banyak tanah di Malaysia dan Vietnam untun pembangunan masa hadapan.

 

"Walaupun menghadapi cabaran dan ketidaktentuan dalam prospek ekonomi, lembaga pengarah optimist bahawa prestasi kewangan dan operasi kumpulan kekal memuaskan pada FY25," katanya. - DagangNews.com