KUALA LUMPUR 30 Sept - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memeterai perjanjian dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) bagi mengambil alih 100% saham Danajamin Nasional Bhd (Danajamin).
Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka sederhana kerajaan untuk memperkukuhkan dan menyelaraskan mandat Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) bagi mengukuhkan ekosistem kewangan pembangunan negara.
Fasa pertama rancangan itu akan menyaksikan BPMB mengambil alih semua saham Danajamin dari pemegang sahamnya sekarang, iaitu CGC dan MOF Inc, menjadikan Danajamin sebagai anak syarikat milik penuh BPMB.
Pengerusi BPMB, Datuk Seri Nazir Razak, DFI adalah komponen penting bagi mana-mana sistem kewangan dan pengukuhannya akan meningkatkan kemampuan untuk menyokong pembangunan ekonomi negara dengan memanfaatkan modal kepada peminjam yang diabaikan oleh bank swasta, menyediakan modal subsidi untuk sektor keutamaan selain mengumpulkan modal swasta ke segmen utama ekonomi.
Katanya, pemeteraian perjanjian terbabit adalah satu pencapaian penting kerana ia bukan hanya mengesahkan penggabungan BPMB dan Danajamin, tetapi secara formal memulai fasa baharu untuk DFI di negara ini.
"Kami di BPMB menyokong penuh usaha kerajaan dan akan bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan bahawa ekosistem DFI menyokong keperluan negara, terutama pada dalam tempoh mencabar ini.
"Krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik adalah peringatan kukuh bagi kita semua mengenai pentingnya DFI sebagai pemberi pinjaman kitaran kontra untuk ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein, berkata kualiti portofolio pinjaman Danajamin mencerminkan kepercayaan kukuh lembaga pengarah dan pengurusannya dari masa lalu hingga masa kini bahawa budaya kredit serta rangka kerja pengurusan risiko yang utuh sangat penting untuk kelestarian Danajamin.
"Dengan penjualan 50 peratus kepentingan kepada BPMB, saya yakin bahawa ini akan menghasilkan sinergi nilai untuk mencipta skala yang lebih besar dan mengambil mandat lebih luas dengan impak pembangunan lebih besar di bawah payung BPMB yang diperbesarkan," katanya.
Sebagai penyedia insurans jaminan kewangan pertama di Malaysia, Danajamin akan melengkapkan tawaran perniagaan dan produk BPMB yang ada, dengan sinergi penggabungan diharapkan dapat memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia, meningkatkan akses ke pasaran modal dan modal secara umumnya.
Pertimbangan pembelian untuk Danajamin adalah berdasarkan nilai aset bersih yang diaudit (NAB) pada 30 Jun 2021.
Perjanjian itu dijangka dimuktamad sejurus selepas selesainya audit sementara, yang berkemungkinan besar pada November ini. - DagangNews.com